Prospek Amway dijangka kekal mencabar berikutan permintaan pengguna lemah, BIMB Securities kekalkan saranan 'Jual'

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 10:33 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prospek Amway dijangka kekal mencabar berikutan permintaan pengguna lemah, BIMB Securities kekalkan saranan 'Jual' Image from: Prospek Amway dijangka kekal mencabar berikutan permintaan pengguna lemah, BIMB Securities kekalkan saranan 'Jual' liza17/11/2026 - 10:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov – Amway (Malaysia) Holdings Berhad mencatatkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 17.5% kepada RM12.1 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (3QFY26), berbanding RM14.6 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya akibat kelemahan permintaan pengguna dan penurunan hasil jualan, kata BIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata hasil kumpulan turut merosot 6.3% kepada RM258.3 juta berbanding RM275.5 juta setahun sebelumnya disebabkan kesan asas tinggi daripada pelancaran produk kesihatan selular pada September 2025 serta permintaan pengguna yang terus perlahan.

 

Namun, Amway berjaya meningkatkan keuntungan kasar sebanyak 11.5% kepada RM69.8 juta berikutan penurunan kos jualan sebanyak 11.5%.

 

Peningkatan itu turut membantu margin keuntungan kasar kumpulan berkembang kepada 27% berbanding 22.7% dalam tempoh sama tahun sebelumnya, mencerminkan kesan positif daripada pelarasan harga produk yang dilaksanakan syarikat.

 

Bagaimanapun, peningkatan perbelanjaan jualan dan pemasaran mengehadkan manfaat daripada margin keuntungan yang lebih tinggi, menyebabkan keuntungan sebelum cukai merosot 11.8% kepada RM16.2 juta.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Amway mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak lima sen sesaham, menjadikan jumlah dividen interim terkumpul bagi FY2026 sebanyak 15 sen sesaham, bersamaan nisbah pembayaran sebanyak 70% dan hasil dividen 3.7%.

 

BIMB Securities kekalkan saranan Jual

BIMB Securities mengekalkan saranan 'Jual' terhadap saham Amway, meskipun menaikkan unjuran pendapatannya bagi FY2026 hingga FY2028 susulan pemulihan margin keuntungan yang lebih baik daripada jangkaan selepas pelarasan harga produk.

 

Firma penyelidikan itu menaikkan unjuran keuntungan bagi ketiga-tiga tahun berkenaan masing-masing sebanyak 30.4%, 35.2% dan 24.3%.

 

Bagaimanapun, BIMB Securities menurunkan harga sasaran saham Amway kepada RM3.60 daripada RM4.00, berdasarkan kaedah penilaian model diskaun dividen (DDM) dan pelarasan tempoh unjuran kepada FY2027.

 

Pada harga saham RM4.05 ketika laporan itu diterbitkan, harga sasaran baharu berkenaan menunjukkan potensi penurunan sebanyak kira-kira 11%.

 

BIMB Securities berpandangan pemulihan keuntungan Amway ketika ini lebih banyak didorong peningkatan margin berbanding pertumbuhan jumlah jualan yang menimbulkan kebimbangan terhadap kemampuan kumpulan mengekalkan pertumbuhan pendapatan dalam jangka sederhana.

 

Firma penyelidikan itu turut melihat aktiviti pengedar yang lebih lemah serta jumlah jualan produk yang masih rendah sebagai faktor yang boleh terus mengehadkan pertumbuhan keuntungan, selain ketiadaan petunjuk jelas mengenai pemulihan ketara permintaan pengguna.

 

Prospek kekal mencabar

Sementara itu, pihak pengurusan menjangkakan keadaan pasaran kekal mencabar sepanjang baki FY2026 berikutan pengguna terus berhati-hati dalam perbelanjaan.

 

Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada segmen Kesihatan dan Kesejahteraan menerusi produk berasaskan sains yang menyokong penuaan sihat serta kesejahteraan jangka panjang.

 

Selain itu, Amway merancang pelaburan secara berdisiplin bagi meningkatkan keupayaan jualan, inovasi produk dan infrastruktur digital.

 

BIMB Securities menjangkakan keuntungan kumpulan kekal agak stabil dengan sokongan pengurusan kos secara berhemat dan pelarasan harga produk, meskipun pertumbuhan hasil terus berdepan tekanan daripada permintaan pengguna yang lemah. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved