Untung bersih Hap Seng Plantations meningkat kepada RM98 juta pada 9MFY26 disokong harga jualan minyak sawit mentah lebih tinggi

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 5:58 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Untung bersih Hap Seng Plantations meningkat kepada RM98 juta pada 9MFY26 disokong harga jualan minyak sawit mentah lebih tinggi Image from: Untung bersih Hap Seng Plantations meningkat kepada RM98 juta pada 9MFY26 disokong harga jualan minyak sawit mentah lebih tinggi liza17/11/2026 - 17:58 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov – Hap Seng Plantations Holdings Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM98.12 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, meningkat 4% berbanding RM94.52 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan itu dicatatkan meskipun kumpulan merekodkan penurunan keuntungan bagi suku ketiga, dengan PAT susut 7% kepada RM48.83 juta berbanding RM52.38 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Bagi tempoh sembilan bulan itu, hasil kumpulan meningkat 10% kepada RM555.81 juta berbanding RM505.08 juta sebelumnya, manakala keuntungan operasi naik 4% kepada RM129.89 juta daripada RM124.91 juta.

 

Bagaimanapun, bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, hasil kumpulan merosot 5% kepada RM161.64 juta berbanding RM169.55 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala keuntungan operasi turun 7% kepada RM62.59 juta.

 

Penurunan hasil suku ketiga itu disebabkan jumlah jualan minyak sawit mentah (CPO) yang lebih rendah meskipun kumpulan memperoleh harga jualan purata lebih tinggi bagi CPO dan isirung sawit (PK).

 

Harga jualan purata CPO meningkat kepada RM4,664 satu tan berbanding RM4,320 satu tan pada suku sama tahun lalu, manakala harga purata PK naik kepada RM3,670 satu tan daripada RM3,464 satu tan.

 

Pengeluaran CPO dan PK masing-masing meningkat 5% dan 9% seiring peningkatan pengeluaran tandan buah segar (BTS). Namun, jumlah jualan CPO susut 14% kepada 28,452 tan, manakala jualan PK meningkat 7% kepada 7,147 tan, terutamanya disebabkan faktor masa penghantaran.

 

Pelarasan aset biologi jejas keuntungan

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan merekodkan pelarasan sekali sahaja berjumlah RM28.96 juta sebelum cukai atau RM22.01 juta selepas cukai susulan perubahan andaian utama dalam penilaian aset biologi berkuat kuasa 1 Januari 2026.

 

Perubahan itu melibatkan kaedah penilaian BTS sebelum tuaian, apabila kumpulan hanya mengambil kira BTS sehingga dua minggu sebelum tuaian berbanding dua bulan sebelum tuaian dalam tahun sebelumnya.

 

Menurut kumpulan, perubahan tersebut selaras dengan amalan kebanyakan syarikat perladangan yang disenaraikan di Bursa Malaysia bagi meningkatkan kebolehbandingan dengan syarikat setara dalam industri.

 

Tanpa mengambil kira kesan pelarasan sekali sahaja itu, keuntungan sebelum cukai dan PAT kumpulan bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 masing-masing akan meningkat 27% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan sesaham asas bagi tempoh tersebut juga akan meningkat kepada 15.02 sen berbanding 11.82 sen dalam tempoh sama tahun lalu, tanpa mengambil kira kesan pelarasan berkenaan.

 

Jangka harga CPO kekal pada paras baik

Mengulas prospek, Hap Seng Plantations menjangkakan harga CPO kekal pada paras yang agak baik bagi baki 2026, dengan penganalisis industri mengunjurkan harga komoditi itu berada dalam lingkungan RM4,400 hingga RM4,600 satu tan dalam tempoh terdekat. Pada Oktober 2026, harga purata CPO direkodkan sebanyak RM4,405.50 satu tan sebelum ditutup pada RM4,388 satu tan pada akhir bulan.

 

Bagaimanapun, potensi kenaikan harga CPO mungkin terhad berikutan paras inventori minyak sawit Malaysia yang tinggi, dengan stok dijangka mencapai kemuncak pada Oktober sebelum berkurangan menjelang akhir tahun susulan penyederhanaan pengeluaran bermusim.

 

Kumpulan turut menjangkakan permintaan daripada negara pengimport utama, khususnya India, terus menyokong pasaran CPO, selain penggunaan minyak sawit menerusi program biodiesel Indonesia. Pada masa sama, fenomena El Niño dijangka menjejaskan pengeluaran minyak sawit pada 2027 sekiranya cuaca kering berpanjangan.

 

Hap Seng Plantations berkata kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti ladang, kecekapan operasi dan pengurusan kos berhemat bagi menangani tekanan kos operasi, termasuk kenaikan harga baja dan logistik.

 

Secara keseluruhan, keputusan kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dijangka terus dipengaruhi tahap pengeluaran minyak sawit, pergerakan harga komoditi serta ketidaktentuan persekitaran ekonomi global. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved