Golden Destinations optimis jualan meningkat semula pada 4QFY2026 berikutan permintaan tinggi musim cuti sekolah

19 Nov 2026 • 6:13 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Golden Destinations optimis jualan meningkat semula pada 4QFY2026 berikutan permintaan tinggi musim cuti sekolah Image from: Golden Destinations optimis jualan meningkat semula pada 4QFY2026 berikutan permintaan tinggi musim cuti sekolah liza19/11/2026 - 18:13 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov – Golden Destinations Group Berhad optimis prospek jualan lebih baik pada suku keempat 2026 (4QFY2026), didorong peningkatan permintaan perjalanan ke luar negara sempena cuti sekolah dan musim percutian hujung tahun yang secara tradisinya menyaksikan aktiviti pelancongan lebih rancak.

 

Syarikat penyedia pakej pelancongan itu berkata, destinasi Asia dijangka terus menjadi tarikan utama berikutan kemudahan akses, kepelbagaian pengalaman pelancongan serta nilai harga yang menarik.

 

Keyakinan itu hadir selepas syarikat merekodkan hasil RM319.36 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026 (9MFY2026), disokong rangkaian ejen pelancongan di seluruh negara serta portfolio pakej perjalanan yang luas.

 

Bagaimanapun, bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 (Q3FY2026), Golden Destinations mencatatkan hasil RM78.96 juta berbanding RM113.17 juta pada suku sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata prestasi lebih rendah itu mencerminkan suku ketiga yang secara tradisinya merupakan tempoh luar puncak bagi industri pelancongan, selain dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik dan kenaikan harga bahan api penerbangan.

 

Asia terus jadi destinasi utama

“Syarikat turut mencatatkan kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM3.63 juta bagi Q3FY2026 berbanding keuntungan selepas cukai (PAT) RM0.28 juta pada suku sebelumnya.

 

“Peralihan prestasi itu turut mengambil kira perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja berjumlah RM4.55 juta yang ditanggung pada suku sebelumnya sempena tawaran awam permulaan (IPO) syarikat.

 

“Bagaimanapun, bagi keseluruhan 9MFY2026, Golden Destinations kekal mencatatkan PAT RM4.71 juta, manakala PAT terlaras berjumlah RM9.26 juta selepas mengecualikan perbelanjaan penyenaraian berkenaan,” katanya.

 

Segmen pengalaman pelancongan menjadi penyumbang utama hasil kumpulan dengan RM212.04 juta atau kira-kira 66.4% daripada jumlah hasil 9MFY2026, manakala segmen penjualan tiket dan perkhidmatan lain menyumbang RM107.32 juta.

 

Daripada segmen pengalaman pelancongan, destinasi Asia menyumbang RM175.31 juta atau kira-kira 82.7%, mencerminkan permintaan berterusan terhadap destinasi di rantau itu walaupun berdepan peningkatan kos perjalanan dan ketidaktentuan geopolitik.

 

Perluas operasi ke pasaran serantau

Pengarah Urusan Golden Destinations Group Berhad, Mita Lim berkata, kumpulan optimis terhadap musim perjalanan hujung tahun yang lazimnya menyaksikan permintaan lebih tinggi ketika cuti sekolah dan tempoh puncak percutian.

 

Beliau berkata, walaupun kenaikan harga bahan api dan perkembangan geopolitik boleh mempengaruhi keputusan perjalanan, kumpulan percaya destinasi Asia akan terus menarik minat pelancong berikutan kemudahan akses, kepelbagaian pengalaman serta nilai harga yang ditawarkan.

 

Dari segi kedudukan kewangan, kumpulan mempunyai tunai dan setara tunai RM142.20 juta setakat 30 September 2026 berbanding RM75.78 juta pada 31 Disember 2025, manakala jumlah pinjaman hanya RM3.45 juta.

 

Liabiliti kontrak yang mewakili bayaran diterima lebih awal bagi perkhidmatan pelancongan yang belum disediakan meningkat kepada RM89.14 juta daripada RM61.27 juta pada 31 Disember 2025. Kumpulan turut membayar dividen interim pertama sebanyak 2.5 sen sesaham berjumlah RM25 juta pada 8 Jun 2026.

 

Selain prospek jangka pendek, Golden Destinations meneruskan strategi pengembangan serantau dengan memperkukuh operasi sedia ada di Semenanjung Malaysia serta meneroka peluang mengembangkan kehadiran di Malaysia Timur dan Singapura, selain memasuki pasaran Hong Kong.

 

Pengambilalihan ibu pejabat baharu RM45 juta

Pada September 2026, pemegang saham meluluskan cadangan pengambilalihan ruang pejabat dan komersial di Menara Liberty serta Menara Liberty Annex, Jalan Sultan Ismail pada nilai tunai RM45 juta untuk dijadikan ibu pejabat baharu kumpulan. Pengambilalihan itu dibiayai sepenuhnya menggunakan hasil IPO dan dijangka selesai pada suku keempat 2026.

 

Pada Oktober 2026, kumpulan turut mengumumkan pengambilalihan 70% kepentingan ekuiti dalam Double Happiness Holidays Limited, yang kini dikenali sebagai Golden Destinations (HK) Limited, sebuah agensi pelancongan berlesen di Hong Kong. Pengambilalihan itu selesai pada penghujung Oktober 2026 dan dijangka menjadi platform untuk memasuki pasaran pelancongan keluar Hong Kong.

 

Mita berkata, kumpulan sedang membangunkan platform pelancongan serantau yang lebih luas berteraskan operasi di Malaysia, selain pengembangan ke Singapura dan kemasukan ke Hong Kong bagi memperluas capaian pasaran serta mengukuhkan keupayaan pengedaran.

 

Dengan pengalaman hampir tiga dekad dalam industri, rangkaian ejen pelancongan di seluruh negara serta lebih 2,000 pakej pengalaman pelancongan merangkumi lebih 84 negara, Golden Destinations terus memberi tumpuan kepada pengembangan serantau, penambahbaikan penawaran produk dan pembinaan platform perniagaan untuk pertumbuhan jangka panjang.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved