
KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan melancarkan Jualan Ihsan Rahmah 9.9 secara dalam talian pada 9 Sept ini bersempena dengan sambutan Hari Malaysia 2026.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu akan dilaksanakan dengan sokongan pelbagai pihak, termasuk kementerian berkaitan bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada jualan berkenaan.
“Ini sebagai tanda dukungan menyeluruh kepada 34.5 juta rakyat Malaysia,” kata beliau selepas merasmikan TikTok Shop Summit Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.
Anwar berkata jualan yang julung-julung kali diadakan secara dalam talian itu membolehkan rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan.
Baca juga:
Jawatankuasa Bebas Akan Ditubuhkan, Teliti Penggubalan Akta Baharu Ganti AUKU - Zambry
17 Syor Diluluskan, Enam Langkah Segera Perkukuh Keselamatan KLIA
Perdana Menteri berkata angka pertumbuhan ekonomi yang baik perlu disusuli dengan usaha menyelesaikan permasalahan kehidupan rakyat, termasuk meningkatkan mutu kehidupan daripada aspek pendidikan, kesihatan, prasarana asas dan kos sara hidup.
Justeru, beliau berharap inisiatif berkenaan dapat dipromosikan secara meluas agar lebih ramai rakyat mengetahui dan memanfaatkan tawaran yang disediakan.
Program Jualan Rahmah anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menawarkan barangan keperluan asas pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga biasa.






