Sukma 2026: Eliza lebur rekod kebangsaan dua kali

20 Aug 2026 • 6:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukma 2026: Eliza lebur rekod kebangsaan dua kali

SHAH ALAM – Perenang Selangor, Eliza Ai Shen Tan mencipta sensasi apabila dua kali memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter (m) gaya bebas wanita dalam tempoh sehari pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 di Pusat Akuatik Selangor, hari ini.

Perenang berusia 19 tahun itu terlebih dahulu mencipta rekod baharu ketika aksi saringan sebelah pagi dengan catatan 57.03 saat (s), sekali gus memadam rekod 57.11s milik perenang Perak, Nadia Lim yang dilakukan Julai lepas di Bangkok.

Bagaimanapun, Eliza belum selesai apabila kembali memperbaharui rekodnya sendiri pada aksi final petang tadi selepas melakukan catatan lebih pantas 56.78s, sekali gus memastikan pingat emas menjadi milik kontinjen tuan rumah.

Nadia yang juga pemegang rekod kebangsaan sebelum ini terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mencatat 57.67s, manakala wakil Melaka, Lynna Yi Jing Yeow melengkapkan podium dengan gangsa menerusi catatan 58.52s.

Kejayaan tersebut turut menyaksikan Eliza muncul perenang pertama memecahkan rekod kebangsaan pada Sukma Selangor 2026 sebelum mengulangi pencapaian itu hanya beberapa jam kemudian menerusi aksi lebih pantas di pentas final.

Lebih manis, emas berkenaan merupakan pingat emas kedua Eliza pada temasya kali ini selepas perenang yang berpangkalan di Australia itu terlebih dahulu mengungguli acara 200m gaya bebas wanita semalam dengan catatan 2 minit 05.26s.

Prestasi cemerlang itu menyaksikan Eliza muncul antara bintang utama kem renang Selangor apabila bukan sahaja sudah mengumpul dua pingat emas, malah turut mencipta dua rekod kebangsaan dalam tempoh sehari di hadapan penyokong tuan rumah. KOSMO! ONLINE

The post Sukma 2026: Eliza lebur rekod kebangsaan dua kali appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved