
KUALA LUMPUR: Jualan Ihsan Rahmah 9.9 secara dalam talian berlangsung pada 9 September depan bersempena sambutan Hari Malaysia 2026 bagi membolehkan lebih ramai rakyat menikmati barangan keperluan pada harga lebih berpatutan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian usaha kerajaan memperluas capaian program Jualan Rahmah menerusi platform digital, selaras dengan perkembangan ekonomi dan perdagangan dalam talian.
Beliau berkata pelaksanaan jualan secara maya itu juga mengambil inspirasi daripada kejayaan pelbagai platform e-dagang tempatan yang membantu usahawan kecil serta memudahkan rakyat mendapatkan barangan keperluan.
“Mengambil semangat kemerdekaan, Hari Malaysia dan inisiatif yang dilaksanakan dalam sektor e-dagang, saya mahu kita selaraskan dengan penganjuran Jualan Ihsan Rahmah 9.9 secara dalam talian,” katanya ketika berucap merasmikan Teknolog Summit Malaysia 2026 di sini.
Menurut Anwar, program itu akan dilaksanakan secara besar-besaran dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan platform digital bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat di seluruh negara.
Sehubungan itu, beliau mahu promosi serta hebahan mengenai program berkenaan dipertingkatkan supaya lebih ramai pengguna dan usahawan tempatan dapat mengambil bahagian.
Program Jualan Rahmah yang diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menawarkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.
Anwar berkata pelaksanaan edisi dalam talian itu mencerminkan komitmen kerajaan memanfaatkan teknologi digital bagi memperluas akses rakyat kepada inisiatif bantuan kos sara hidup. – UTUSAN
The post Jualan Ihsan Rahmah 9.9 dalam talian sempena Hari Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.






