amree21/09/2026 - 14:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Sept — Jualan kenderaan berisiko mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan pada September 2026 apabila sebahagian pengguna dijangka menunda pembelian menjelang pengumuman Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini, menurut CGSI Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata langkah 'tunggu dan lihat' berkenaan boleh menjejaskan momentum jualan dalam tempoh yang terdekat, meskipun permintaan secara keseluruhan kekal berdaya tahan.
Ujarnya lagi, tekanan persaingan harga yang semakin sengit turut menjadi cabaran kepada pemain industri automotif kerana promosi dan rebat secara lebih agresif boleh menjejaskan margin mereka.
"Kami namun mengekalkan pandangan positif terhadap momentum sektor bagi separuh kedua 2026 (2H26), dengan jualan dijangka disokong promosi hujung tahun, pelancaran model baharu serta faktor bermusim yang lazim meningkatkan jualan," kata CGSI dalam notanya.
Jumlah keseluruhan volum industri (TIV) pada Ogos 2026 susut 3% bulan ke bulan (MoM) dan 2% tahun ke tahun (YoY) kepada 71,428 unit. Walaupun menurun, angka itu merupakan prestasi bulanan ketiga terkuat setakat tahun ini dan kekal melebihi paras 70,000 unit.
Kemerosotan TIV itu sebahagian besarnya disebabkan asas jualan yang tinggi pada Julai 2026. Penurunan berlaku secara meluas dalam kalangan jenama utama, namun sebahagiannya diimbangi peningkatan jualan Proton sebanyak 18% MoM, Jaecoo (15%) dan Jetour (2%).

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, TIV naik 2% YoY kepada 530,396 unit, disokong Proton menerusi e.MAS, Saga dan model dinaik taraf, serta Mazda 3. CGSI berkata kempen promosi serta pengenalan model baharu terus menyokong pertumbuhan jualan.
"Segmen kenderaan elektrik (EV) pula terus menunjukkan momentum apabila bahagian pasaran meningkat kepada 9% bagi tempoh lapan bulan pertama 2026 berbanding 7.3% pada tempoh sama tahun sebelumnya. Jualan EV pada Ogos turut naik 27% MoM, dipacu jualan Proton dan Tesla," katanya.
CGSI mengekalkan unjuran TIV 2026 sebanyak 780,000 unit, susut 5% YoY, dengan prestasi setakat Ogos dilihat masih sejajar unjuran, tetapi menjangkakan sebahagian permintaan diawalkan susulan penganjuran Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) selama 10 hari pada Jun lalu.
Bagi 2H26, ia mengunjurkan pertumbuhan jualan sekitar 2% berbanding separuh pertama tahun ini, disokong promosi akhir tahun dan faktor bermusim. Peningkatan kuota subsidi bahan api bulanan daripada 200 kepada 300 liter mulai 1 September turut membantu sentimen pengguna.
Secara keseluruhan, CGSI mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor automotif, dengan pemangkin termasuk TIV 2H26 yang lebih kukuh daripada jangkaan, penerimaan EV berterusan dan ketahanan permintaan pengguna.
"Sebaliknya, kami mengingatkan risiko utama termasuk permintaan lebih lemah daripada jangkaan serta persaingan harga yang semakin sengit boleh menekan jumlah jualan dan margin," kata firma tersebut.
Dalam sektor itu, Sime Darby kekal sebagai pilihan utama CGSI dengan harga sasaran (TP) RM2.80 setelah melihat potensi disokong pemulihan perniagaan automotif China secara beransur-ansur selain ruang pembayaran dividen susulan aliran tunai operasi yang positif. - DagangNews.com






