Pengeluar sarung tangan Malaysia berisiko hilang pasaran akibat hanya bergantung strategi harga – PublicInvest

LocalBusiness & Finance
18 Sep 2026 • 9:15 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pengeluar sarung tangan Malaysia berisiko hilang pasaran akibat hanya bergantung strategi harga – PublicInvest Image from: Pengeluar sarung tangan Malaysia berisiko hilang pasaran akibat hanya bergantung strategi harga – PublicInvest amree18/09/2026 - 09:15 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Sept — Industri sarung tangan Malaysia berisiko kehilangan bahagian pasaran bagi pengeluar Malaysia, khususnya jika mereka hanya terus bergantung kepada strategi persaingan berasaskan harga murah dan jumlah pengeluaran.

 

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, perkembangan itu menjejaskan pemulihan yang semakin sempit apabila pengeluar China terus memperluas kapasiti, memperkukuh integrasi rantaian bekalan dan menawarkan kelebihan kos yang sukar disaingi pemain tempatan.

 

Menurut firma itu, pengeluar China, Intco Medical Technology Co Ltd kini semakin muncul sebagai penanda aras industri dari segi penetapan harga dan kecekapan operasi, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap syarikat Malaysia berdepan kelemahan kos secara struktur.

 

"Kenaikan harga jualan purata (ASP) sarung tangan dari China baru-baru ini sememangnya memberi ruang kepada pemain Malaysia untuk menaikkan harga, namun kelebihan itu tidak cukup untuk menghapuskan jurang kos yang masih wujud," jelasnya.

 

Lebih membimbangkan, Intco Medical turut meningkatkan kawalan terhadap rantaian nilai sarung tangan menerusi integrasi menegak, termasuk pegangan dalam pengeluar lateks nitril di peringkat huluan, membolehkannya memperkukuh jaminan bekalan bahan mentah dan kawalan kos, termasuk ketika berlaku gangguan bekalan susulan ketegangan di Timur Tengah.

 

Dalam perkembangan sama, PublicInvest berkata kelebihan pengeluar China kini bukan lagi terhad kepada kecekapan pengeluaran di kilang, sebaliknya merangkumi pemerolehan bahan mentah dan integrasi rantaian bekalan.

 

Justeru ujarnya, usaha pemain Malaysia untuk merapatkan jurang kos hanya melalui peningkatan kecekapan kilang dilihat semakin mencabar.

 

sarung tangan_DagangNews2026

 

Bagi bahan mentah pula, kekuatan tradisional Malaysia dalam getah asli semakin kurang menjadi kelebihan apabila permintaan industri beralih kepada sarung tangan nitril sintetik yang menawarkan risiko alahan lateks lebih rendah serta ketahanan terhadap tusukan yang lebih baik.

 

"Kami menjangka usaha kerajaan menggalakkan penggunaan getah asli hanya memberi kesan terhad terhadap perubahan permintaan, mengambil kira keutamaan pelanggan dan keperluan aplikasi. Kebergantungan lebih tinggi kepada nitril turut mendedahkan pengeluar kepada kos bahan suapan petrokimia dan risiko gangguan bekalan," katanya.

 

Sementara itu, firma penyelidikan tersebut melihat sarung tangan khusus, termasuk sarung tangan bilik bersih, berpotensi memberikan ASP dan margin lebih tinggi berbanding sarung tangan nitril konvensional. Peralihan kepada produk bernilai lebih tinggi itu juga selari dengan hala tuju Pelan Hala Tuju Lembaga Getah Malaysia 2030," katanya.

 

Namun, PublicInvest memberi amaran bahawa kemasukan lebih banyak pengeluar ke segmen khusus boleh meningkatkan persaingan dan menghakis premium harga. Pada masa sama, jumlah jualan sarung tangan khusus perlu naik dengan ketara sebelum segmen berkenaan mampu menyumbang secara lebih bermakna kepada hasil dan keuntungan pengeluar.

 

Ujarnya, bahagian Malaysia dalam pengeluaran sarung tangan global merosot daripada 54% pada 2018 kepada 36% pada 2025, manakala bahagian China meningkat daripada 8% kepada 23% dalam tempoh sama. Nilai eksport sarung tangan Malaysia turut susut 25% kepada AS$3.3 bilion (RM13.49 bilion), mencerminkan persaingan yang semakin sengit.

 

"Susulan kenaikan harga saham baru-baru ini, kami menurunkan penarafan Hartalega Holdings Berhad kepada 'underperform' dengan harga sasaran (TP) 98 sen, manakala Kossan Rubber Industries Berhad diturunkan kepada 'neutral' dengan TP RM1.36," katanya.

 

Penarafan Top Glove Corporation Berhad pula dikekalkan pada 'underperform' dengan TP 59 sen, namun PublicInvest mengekalkan unjuran pendapatan dan menurunkan penarafan keseluruhan sektor sarung tangan daripada 'neutral' kepada 'underweight'. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved