liza26/10/2026 - 10:45 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 26 Okt – Pembangunan berorientasikan transit (TOD) di Johor Bahru bernilai RM3.2 bilion serta dua pelancaran projek kediaman di Singapura dengan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan S$3.7 bilion dijangka menjadi antara pemacu jualan hartanah Sunway Bhd pada 2027.
Menurut CGS International Securities (CGSI), Sunway merancang melancarkan projek TOD Johor Bahru secara berperingkat pada 2027 selain projek Chuan Grove pada separuh pertama tahun itu dengan GDV S$2.5 bilion dan pegangan 35%, diikuti River Valley Green pada separuh kedua dengan GDV S$1.2 bilion dan pegangan 60%.
Firma penyelidikan itu menjangkakan gabungan pelancaran berkenaan, bersama kira-kira RM2 bilion projek baharu di Johor membolehkan Sunway mencatat jualan prajualan lebih tinggi pada tahun kewangan 2027.
“Sunway telah mencatat jualan prajualan RM2.3 bilion pada separuh pertama 2026, bersamaan 55% daripada sasaran RM4.2 bilion bagi keseluruhan tahun. Kami menjangkakan jualan hartanah pada suku ketiga 2026 meningkat berbanding suku sebelumnya.
“Selain pelancaran baharu, pendapatan hartanah Sunway pada tahun kewangan 2027 dan 2028 dijangka mendapat sokongan daripada dua projek kondominium eksekutif di Singapura, iaitu Novo Place dan Otto Place, yang telah habis dijual dan dijadualkan diserahkan kepada pembeli masing-masing pada Disember 2027 dan suku pertama 2028,” kata CGSI dalam nota kajiannya.
Pembinaan dan penjagaan kesihatan turut menyumbang
Bagi sektor pembinaan, CGSI menjangkakan pengiktirafan hasil daripada buku tempahan Sunway Construction Group Bhd bernilai RM10.5 bilion meningkat, dengan kira-kira 70% daripadanya berkaitan projek pusat data.
Bagaimanapun, margin keuntungan sebelum cukai segmen pembinaan dijangka kembali kepada 10% hingga 12%, berbanding 13% hingga 17% pada suku keempat 2025 hingga suku kedua 2026, susulan sumbangan insentif penyiapan awal dan pemuktamadan akaun bagi sebuah projek pusat data sebelum ini.
Dalam sektor penjagaan kesihatan, CGSI menjangkakan keuntungan Sunway Healthcare Holdings meningkat berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, disokong sumbangan lebih tinggi daripada hospital baharu di Ipoh dan Damansara.
Secara keseluruhan, CGSI mengunjurkan keuntungan bersih Sunway meningkat daripada RM1.25 bilion pada tahun kewangan 2026 kepada RM1.39 bilion pada 2027 dan RM1.54 bilion pada 2028.
CGSI naik taraf penarafan Sunway kepada Tambah
Sehubungan itu, CGSI menaik taraf penarafan saham Sunway kepada ‘Tambah’ daripada ‘Pegang’ dengan harga sasaran baharu RM5.20 berbanding RM5.53 sebelum ini.
Firma ituI berkata harga saham Sunway telah merosot hampir 20% dalam tempoh tiga bulan, sedangkan asas perniagaan kumpulan itu tidak mengalami perubahan ketara. Firma penyelidikan itu berpandangan penilaian Sunway kini lebih menarik berbanding Sunway Construction, dengan premium nisbah harga kepada pendapatan (P/E) mengecil kepada kira-kira 6% berbanding kemuncak 41% pada Januari 2025.
CGSI turut menganggarkan nilai baki perniagaan Sunway yang tidak disenaraikan secara berasingan sekitar RM3.5 bilion berdasarkan harga pasaran semasa, berbanding anggaran nilai sekitar RM10.2 bilion selepas mengambil kira diskaun syarikat induk sebanyak 15%. Perbezaan itu menunjukkan nilai perniagaan kumpulan mungkin belum dicerminkan sepenuhnya dalam harga saham semasa.
Bagaimanapun, CGSI mengingatkan bahawa kelembapan ekonomi yang boleh menjejaskan jualan hartanah, peningkatan kos bahan mentah dan ketiadaan pemangkin besar untuk penilaian semula saham kekal sebagai risiko yang perlu diperhatikan. - DagangNews.com





