Segmen insurans am pacu peningkatan hasil LPI Capital kepada RM1.65 bilion

LocalBusiness & Finance
27 Oct 2026 • 2:57 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Segmen insurans am pacu peningkatan hasil LPI Capital kepada RM1.65 bilion Image from: Segmen insurans am pacu peningkatan hasil LPI Capital kepada RM1.65 bilion liza27/10/2026 - 14:57 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 27 Okt – LPI Capital Bhd mencatat peningkatan hasil operasi sebanyak 4.9% kepada RM1.65 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2026, berbanding RM1.57 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, LPI Capital berkata peningkatan itu didorong pertumbuhan segmen insurans am yang merekodkan hasil lebih tinggi sepanjang tempoh berkenaan.

 

Bagaimanapun, keuntungan bersih yang dikaitkan dengan pemegang saham merosot 11.1% kepada RM263.2 juta daripada RM296 juta, manakala pendapatan sesaham turun kepada 66.07 sen berbanding 74.29 sen sebelumnya.

 

Segmen insurans am mencatat peningkatan hasil sebanyak 5.4% kepada RM1.61 bilion daripada RM1.52 bilion pada sembilan bulan pertama 2025. Namun, prestasi segmen itu terjejas oleh pulangan pelaburan yang lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Sementara itu, segmen pegangan pelaburan merekodkan hasil RM40.7 juta berbanding RM47.4 juta, terutama disebabkan pendapatan dividen dikecualikan cukai yang lebih rendah daripada pelaburan ekuiti.

 

Hasil suku ketiga meningkat

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, hasil operasi LPI Capital meningkat 1.1% kepada RM555.5 juta daripada RM549.3 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Bagaimanapun, keuntungan bersih yang dikaitkan dengan pemegang saham turun 15.7% kepada RM96.8 juta berbanding RM114.8 juta sebelumnya.

 

Kemerosotan itu sebahagiannya berpunca daripada kerugian nilai saksama bersih pelaburan sebanyak RM12.1 juta, berbanding keuntungan RM2.3 juta pada suku ketiga 2025, susulan kenaikan hasil bon.

 

Selain itu, penjualan 220.3 juta saham Public Bank Bhd pada 21 Mei 2026 dengan hasil kasar kira-kira RM1.05 bilion menyebabkan kumpulan tidak lagi menerima pendapatan dividen sekitar RM23.1 juta pada suku ketiga.

 

Lonpac catat peningkatan prestasi insurans

Anak syarikat milik penuh LPI Capital, Lonpac Insurance Bhd, mencatat peningkatan keputusan perkhidmatan insurans sebanyak 3.9% kepada RM275 juta bagi sembilan bulan pertama 2026.

 

Keputusan perkhidmatan insurans bagi kelas kebakaran meningkat 39.2% kepada RM218 juta, manakala kelas insurans motor merosot kepada RM6.5 juta daripada RM41.8 juta berikutan pengalaman tuntutan yang semakin buruk.

 

Premium bertulis kasar Lonpac meningkat 3.8% kepada RM1.6 bilion daripada RM1.54 bilion, disokong pertumbuhan premium insurans kebakaran dan motor.

 

Bayar dividen 90 sen sesaham

LPI Capital membayar jumlah dividen sebanyak 90 sen sesaham bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, merangkumi dividen interim kedua 50 sen serta dividen interim pertama 25 sen dan dividen khas 65 sen sesaham yang dibayar pada September.

 

Setakat 30 September 2026, jumlah dividen yang dibayar kumpulan mencecah RM557.7 juta.

 

LPI Capital berkata prospek pertumbuhan Malaysia kekal berdaya tahan, disokong eksport dan pelaburan berkaitan teknologi serta permintaan domestik, meskipun berdepan risiko konflik di Timur Tengah, ketidaktentuan harga tenaga dan perdagangan serta gangguan rantaian bekalan.

 

LPI Capital akan memberi tumpuan kepada peningkatan keuntungan melalui penetapan harga premium yang bersesuaian dengan risiko, penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk memperbaiki penilaian risiko serta kerjasama dengan Public Bank bagi menawarkan pakej insurans mampu milik kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved