hamden07/09/2026 - 09:31 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Sept - Institusi asing melanjutkan siri jualan bersih di Bursa Malaysia untuk minggu kelima berturut-turut dengan merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM640.3 juta pada minggu lalu, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, tekanan jualan itu berlaku dalam minggu dagangan yang lebih singkat selepas pasaran ditutup pada Isnin bersempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia.
Institusi asing menjadi penjual bersih pada kesemua empat hari dagangan, dengan aliran keluar tertinggi direkodkan pada Selasa sebanyak RM488.4 juta, diikuti Khamis (RM74.6 juta), Rabu (RM56.8 juta) dan Jumaat (RM20.5 juta).
Dari segi sektor, Perladangan menjadi penerima aliran masuk bersih asing tertinggi sebanyak RM138.2 juta, diikuti Pengangkutan & Logistik (RM81.4 juta) dan Tenaga (RM40.3 juta).
Sebaliknya, Perkhidmatan Kewangan merekodkan aliran keluar bersih asing terbesar sebanyak RM462.9 juta, diikuti Teknologi (-RM118.8 juta) dan Utiliti (-RM106.8 juta).
Sementara itu, institusi tempatan meneruskan siri belian bersih untuk minggu keenam berturut-turut, dengan aliran masuk bersih sebanyak RM120.3 juta.
Pelabur runcit turut melanjutkan siri belian bersih kepada dua minggu berturut-turut, dengan merekodkan aliran masuk bersih sebanyak RM520 juta.
Dari aspek aktiviti dagangan, purata jumlah dagangan harian (ADTV) menyaksikan penurunan merentasi semua kategori pelabur.
ADTV pelabur runcit susut 10.8%, diikuti institusi tempatan sebanyak 9.4%, manakala aktiviti dagangan institusi asing merosot lebih ketara sebanyak 30.5%.
Trend tersebut menunjukkan tekanan jualan asing terus membayangi pasaran tempatan, meskipun sokongan daripada institusi tempatan dan pelabur runcit membantu mengimbangi sebahagian daripada aliran keluar dana asing. - DagangNews.com





