P.A. Resources dapat pinjaman tambahan RM255.45 juta sokong pengembangan kapasiti

LocalBusiness & Finance
7 Sep 2026 • 5:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

P.A. Resources dapat pinjaman tambahan RM255.45 juta sokong pengembangan kapasiti Image from: P.A. Resources dapat pinjaman tambahan RM255.45 juta sokong pengembangan kapasiti hamden07/09/2026 - 17:40 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Sept - P.A. Resources Bhd (PARB) memperoleh kemudahan perbankan tambahan berjumlah RM255.45 juta menerusi dua anak syarikat milik penuhnya bagi membiayai keperluan modal kerja serta pembinaan kilang baharu kumpulan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PARB berkata kemudahan itu diterima dan dilaksanakan pada 7 September 2026 menerusi surat tawaran bertarikh 11 Ogos 2026.

 

Kemudahan tersebut melibatkan kemudahan perbankan konvensional tambahan RM205.45 juta kepada P.A. Extrusion (M) Sdn. Bhd. (PAESB) daripada AmBank (M) Bhd, manakala Professional Aluminium Smelting Sdn. Bhd. (PASSB) menerima kemudahan perbankan Islam tambahan RM50 juta daripada AmBank Islamic Bhd.

 

Daripada jumlah RM255.45 juta itu, sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi memenuhi keperluan modal kerja tambahan kilang sedia ada susulan peningkatan tempahan pelanggan, kepelbagaian produk serta pengembangan pasaran.

 

Sebanyak RM65.45 juta lagi akan digunakan bagi membiayai pembinaan kilang baharu termasuk pemerolehan loji dan mesin, manakala baki RM140 juta diperuntukkan untuk keperluan modal kerja kilang baharu.

 

Kemudahan tersebut diperoleh susulan pembaharuan perjanjian bekalan PARB dengan First Solar pada 14 Julai 2026 bernilai kira-kira AS$322.17 juta bagi tempoh 1 Julai 2026 hingga 31 Disember 2027.

 

Nilai kontrak berkenaan meningkat kira-kira AS$90.27 juta atau 38.9% berbanding pembaharuan keempat bernilai AS$231.9 juta bagi tempoh 2 Januari 2024 hingga 1 Julai 2025.

 

PARB berkata nilai kontrak yang lebih tinggi itu dijangka meningkatkan pengeluaran kumpulan, sekali gus menambah keperluan modal kerja.

 

Peruntukan digunakan secara berperingkat

Bagi kilang sedia ada, peruntukan RM50 juta itu akan digunakan terutamanya untuk menyokong peningkatan modal kerja yang dijangka berpunca daripada nilai jualan lebih tinggi serta strategi kepelbagaian produk dan pasaran.

 

Sementara itu, kemudahan RM140 juta bagi kilang baharu akan digunakan secara berperingkat mengikut keperluan operasi selepas pengeluaran dimulakan.

 

Ia merangkumi pembelian bahan mentah, pegangan inventori serta pembiayaan tempoh kredit yang diberikan kepada pelanggan.

 

Menurut PARB, pendekatan penggunaan secara berperingkat itu membolehkan kumpulan mengurus kos pembiayaan dan tahap gearing secara berhemat.

 

Lebih penting, pembinaan kilang baharu itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran penyemperitan aluminium bulanan PARB daripada kira-kira 3,500 tan kepada 8,500 tan, atau peningkatan sekitar 143%.

 

Peningkatan kapasiti berkenaan dijangka mengukuhkan keupayaan kumpulan untuk memenuhi pertumbuhan tempahan pelanggan, selain menyokong strategi kepelbagaian produk dan pengembangan pasaran.

 

Secara keseluruhan, PARB berkata kemudahan perbankan tambahan itu akan memberikan fleksibiliti kewangan bagi memenuhi perjanjian bekalan yang diperbaharui dengan First Solar, melaksanakan rancangan pengembangan kapasiti serta menyokong pertumbuhan perniagaan kumpulan.

 

Pada masa sama, kemudahan tersebut membolehkan PARB mengekalkan sumber modal kerja sedia ada dan meneruskan komitmen terhadap dasar pembayaran dividen. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved