Jualan Zhulian jatuh 17% pada 9M26, persaingan platform dalam talian tekan prospek

LocalBusiness & Finance
21 Oct 2026 • 5:27 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Jualan Zhulian jatuh 17% pada 9M26, persaingan platform dalam talian tekan prospek Image from: Jualan Zhulian jatuh 17% pada 9M26, persaingan platform dalam talian tekan prospek liza21/10/2026 - 17:27 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 21 Okt – Zhulian Corporation Bhd mencatatkan kerugian selepas cukai RM11.04 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Ogos 2026, berbanding keuntungan RM15.51 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya apabila jualan merosot 17% kepada RM82.42 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata kemerosotan itu disebabkan jualan lebih rendah serta pergerakan pertukaran mata wang asing yang tidak menguntungkan susulan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat, sekali gus menjejaskan hasil eksport.

 

“Jualan lebih rendah turut menyebabkan keuntungan daripada aktiviti operasi merosot 76% kepada RM3.3 juta berbanding RM13.99 juta sebelumnya dengan prestasi turut terjejas akibat perbelanjaan operasi lebih tinggi.

 

“Keuntungan sebelum cukai kumpulan susut 57% kepada RM8.9 juta daripada RM20.78 juta bagi tempoh sama tahun kewangan sebelumnya,” kata Zhulian dalam makluman tersebut.

 

Cukai tertunda RM19.8 juta jejas keuntungan

Zhulian berkata kerugian selepas cukai itu disebabkan pengiktirafan liabiliti cukai tertunda RM19.8 juta terhadap keuntungan syarikat bersekutunya di luar negara yang belum diagihkan, susulan penilaian semula mengikut piawaian perakaunan MFRS 112.

 

Bagi tempoh sembilan bulan itu, bahagian keuntungan daripada syarikat bersekutu selepas cukai turut merosot 18% kepada RM5.60 juta daripada RM6.79 juta sebelumnya, terutama disebabkan jualan lebih rendah dan perbelanjaan insentif lebih tinggi di bawah program pengedar berasaskan prestasi.

 

Malaysia dan Kemboja catat jualan lebih rendah

Mengikut pasaran, jualan di Malaysia merosot 36% kepada RM12.3 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Ogos 2026 manakala jualan di Kemboja susut 26% kepada RM5.14 juta.

 

Zhulian berkata Thailand kekal sebagai penyumbang jualan terbesar kumpulan dengan RM63.64 juta, walaupun jumlah itu turun 12% daripada RM72.2 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

“Kumpulan turut merekodkan jualan di Indonesia sebanyak RM680,000 berbanding tiada jualan direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya.

 

Prestasi suku ketiga bertambah baik berbanding suku sebelumnya

Bagi suku ketiga berakhir 31 Ogos 2026, jualan kumpulan merosot 11% kepada RM28.38 juta berbanding RM31.79 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan sebelum cukai bagi suku itu turun 27% kepada RM3.86 juta daripada RM5.25 juta, manakala kumpulan mencatatkan kerugian selepas cukai RM13.56 juta berbanding keuntungan RM3.95 juta setahun sebelumnya.

 

Bagaimanapun, berbanding suku kedua tahun kewangan 2026, jualan meningkat 7% kepada RM28.38 juta daripada RM26.59 juta, manakala keuntungan sebelum cukai naik 12% kepada RM3.86 juta daripada RM3.46 juta.

 

Tunai meningkat, prospek kekal mencabar

Kedudukan tunai dan setara tunai kumpulan meningkat kepada RM158.48 juta pada 31 Ogos 2026 berbanding RM133.51 juta pada 30 November 2025, sebahagian besarnya disokong penerimaan dividen RM41.1 juta daripada syarikat bersekutu.

 

Bagaimanapun, jumlah liabiliti meningkat kepada RM90.43 juta daripada RM30.31 juta, manakala jumlah ekuiti pemilik merosot kepada RM345.23 juta berbanding RM415.81 juta sebelumnya.

 

Mengenai prospek, Zhulian berkata kumpulan kekal berhati-hati terhadap industri jualan langsung yang berdepan persaingan sengit daripada platform dalam talian dan pertumbuhan ekonomi gig, selain perubahan sentimen serta corak pembelian pengguna dan peningkatan kos operasi.

 

Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan operasi, pengurusan kos secara berhemat serta sokongan kepada rangkaian pemimpin perniagaannya bagi mengekalkan prestasi jualan dan menyokong pertumbuhan jangka panjang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved