liza23/09/2026 - 17:17 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Sept – Gold Li Holdings Berhad mencatat kerugian sebelum cukai RM3.84 juta bagi suku kedua berakhir 31 Julai 2026, berbanding keuntungan sebelum cukai RM941,000 pada suku sebelumnya, susulan penurunan jualan hartanah dan peningkatan perbelanjaan pentadbiran termasuk kos berkaitan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Gold Li Holdings juga menjangkakan prestasi kewangannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2027 kekal mencabar dipengaruhi ketegangan geopolitik global, perubahan dinamik perdagangan, tekanan inflasi dan keadaan pembiayaan yang berubah.
Menurut kumpulan itu, faktor berkenaan berpotensi menjejaskan sentimen pasaran, kemampuan pembeli serta kos pembangunan yang akan memberi kesan kepada pasaran hartanah yang menjadi perniagaan utamanya.
Bagi suku kedua berakhir 31 Julai 2026, Gold Li mencatat hasil RM7 juta, turun 25.37% daripada RM9.38 juta pada suku sebelumnya berakhir 30 April 2026, terutama disebabkan jualan hartanah siap yang lebih rendah.
Kerugian suku kedua dipengaruhi kos IPO
Penurunan hasil itu turut menyebabkan untung kasar merosot 44.69% kepada RM1.67 juta berbanding RM3.02 juta pada suku sebelumnya dengan margin untung kasar sebanyak 23.88% pada suku kedua.
Gold Li seterusnya mencatat kerugian sebelum cukai RM3.84 juta pada suku kedua berbanding keuntungan sebelum cukai RM941,000 pada suku sebelumnya, dengan kemerosotan RM4.78 juta.
Menurut kumpulan itu, kemerosotan tersebut disebabkan untung kasar yang lebih rendah serta peningkatan perbelanjaan pentadbiran, termasuk pengiktirafan perbelanjaan sekali sahaja berkaitan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Perbelanjaan berkaitan tawaran awam permulaan (IPO) itu berjumlah RM3.61 juta. Selepas mengambil kira pelarasan bagi kos IPO sekali sahaja tersebut, kerugian sebelum cukai bagi suku kedua adalah sekitar RM228,000 manakala bagi tempoh enam bulan pertama, keuntungan sebelum cukai larasan berjumlah RM713,000.
Hasil RM16.39 juta bagi enam bulan
Bagi tempoh enam bulan berakhir 31 Julai 2026, Gold Li merekodkan hasil RM16.39 juta dan untung kasar RM4.7 juta, manakala kerugian sebelum cukai berjumlah RM2.89 juta.
Hasil kumpulan itu disumbangkan aktiviti pembangunan hartanah, termasuk jualan hartanah yang masih dalam pembinaan di Taman Lantapuri dan Taman Wiramas 2 serta jualan hartanah siap di Taman Muhibah Jaya, Taman Kesang Mawar dan Taman Sri Jorak.
Bagi suku kedua, jualan hartanah yang masih dalam pembinaan menyumbang RM2.81 juta manakala jualan hartanah siap menyumbang RM3.88 juta dan kontrak pembinaan RM323,000.
Fokus pasaran Johor
Walaupun berdepan cabaran tersebut, Gold Li kekal berhati-hati optimistik terhadap prospek pasaran hartanah Johor dengan beberapa projek infrastruktur dan ekonomi dijangka menyokong hubungan serantau, menarik pelaburan serta menyokong pertumbuhan pasaran hartanah negeri itu.
Antara projek yang disebut ialah Sistem Transit Rapid Johor Bahru–Singapura, Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dan Projek Maharani Energy Gateway.
Kumpulan itu akan terus memberi tumpuan kepada pasaran utamanya di Muar, Tangkak dan Batu Pahat.
Gold Li turut merancang melancarkan projek baharu yang memenuhi permintaan pasaran, termasuk cadangan pembangunan kediaman bertingkat tinggi, selain mengurus pembangunan baharu dan sedia ada secara berhemat bagi mengoptimumkan aliran tunai serta keterlihatan pendapatan.
Bagaimanapun, selepas mengambil kira tekanan ekonomi, keadaan pembiayaan, kemampuan pembeli dan kos pembangunan, kumpulan itu menjangkakan prestasi kewangan bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2027 kekal mencabar. - DagangNews.com






