liza09/10/2026 - 17:06 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt – Kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) E-Dagang pada mesyuarat akan datang bagi memperkukuh akauntabiliti platform dan penjual dalam talian, selain melindungi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan daripada persaingan tidak adil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memandang serius keresahan peniaga kecil berhubung kemasukan syarikat e-dagang asing ke pasaran tempatan tanpa pengawasan dan penguatkuasaan sewajarnya.
Beliau berkata, kerajaan akan meneliti langkah perundangan dan penguatkuasaan bagi melindungi kepentingan PMKS tempatan, di samping memastikan barangan yang dibeli pengguna selamat.
Dalam perkembangan berkaitan, pelaburan diluluskan Malaysia bagi separuh pertama 2026 meningkat 11.7% kepada RM218.5 bilion, sekali gus meletakkan negara di landasan tepat untuk mencatat paras tertinggi baharu bagi tahun ketiga berturut-turut.
Anwar berkata, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) diamanahkan untuk membina ketahanan ekonomi domestik dan meningkatkan keupayaan syarikat tempatan dalam sektor bernilai tinggi.
Menerusi inisiatif GEAR-uP, GLIC menggembleng pelaburan domestik berjumlah RM25 bilion, termasuk penubuhan New Economy Venture Fund bernilai RM1.25 bilion oleh Sime Darby Property, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi membangunkan pusat data serta aset logistik di Elmina, Selangor.
Selain itu, Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) melabur RM1.2 bilion bagi meningkatkan potensi syarikat semikonduktor tempatan ke segmen bernilai lebih tinggi, termasuk menerusi kerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor dalam dana pelaburan bagi pembangunan industri semikonduktor.
Bagi memperkukuh ekosistem syarikat pemula niaga, Jelawang Capital Khazanah dan Dana Perintis KWAP menyediakan pelaburan berjumlah RM450 juta, manakala Dana NIMP, Dana Pemacu KWAP dan Dana MTC Khazanah yang keseluruhannya bernilai RM2.1 bilion akan dimanfaatkan untuk memperkukuh keupayaan syarikat pertengahan dalam sektor elektronik dan elektrikal (E&E), digital, aeroangkasa serta peranti perubatan.
Kerajaan turut menyediakan RM270 juta bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat pertengahan serta perusahaan sosial menerusi platform Pendanaan Awam Ekuiti (ECF) dan pembiayaan rakan setara (P2P). Selain itu, pengecualian cukai pendapatan bagi pelabur individu melalui platform ECF dan pelabur mangkin yang membiayai syarikat pemula niaga teknologi peringkat awal dilanjutkan hingga 31 Disember 2030.
Dalam pada itu, RM41 juta diperuntukkan kepada Cradle Fund bagi melaksanakan Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup serta menyediakan geran pembangunan prototaip dan pengkomersialan, manakala SemiconStart oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) akan menyediakan pelaburan ekuiti susulan kepada syarikat pemula niaga dalam bidang seperti reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pembungkusan termaju.
Anwar berkata, reformasi MADANI turut memulihkan keyakinan pelabur apabila Malaysia melonjak ke tangga ke-15 dalam Indeks Daya Saing Dunia dalam tempoh dua tahun, selain menduduki tempat pertama sebagai destinasi nomad digital dalam Rumavi Global Relocation Index 2026.
Beliau berkata, usaha mempermudah urusan perniagaan perlu diteruskan bagi memastikan syarikat global dapat beroperasi dengan lebih mudah di Malaysia, sekali gus menarik kemasukan bakat mahir terbaik untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara. - DagangNews.com





