liza09/10/2026 - 09:54 Gambar web Bermaz Auto Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt – Bermaz Auto Berhad mencapai 23% daripada sasaran jualan tahunannya bagi tahun kewangan 2027 (FY2027) dengan menjual 3,696 unit kenderaan pada suku pertama berakhir 31 Julai 2026 (1QFY2027) daripada sasaran keseluruhan 16,000 unit, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata prestasi jualan pada suku pertama masih berada pada landasan untuk mencapai sasaran setahun penuh dengan Mazda Malaysia dan XPeng dijangka menjadi penyumbang utama pertumbuhan.
“Pencapaian itu merangkumi jualan Mazda Malaysia sebanyak 3,024 unit bersamaan 25% daripada sasaran 12,200 unit; XPeng sebanyak 409 unit atau 20% daripada sasaran 2,000 unit serta Mazda Filipina sebanyak 263 unit, bersamaan 15% daripada sasaran 1,800 unit.
“Kami menjangkakan keuntungan Bermaz Auto pulih pada FY2027, disokong peningkatan jualan Mazda Malaysia dan XPeng serta prospek penambahbaikan margin operasi domestic,” kata MBSB Research dalam nota kajiannya.
Sehubungan itu, firma tersebut menaikkan unjuran keuntungan sebanyak 15% bagi FY2027 dan 8% bagi FY2028 berikutan prospek jualan yang lebih baik.
Mazda CX-5 baharu sokong prospek jualan
Mazda Malaysia menyasarkan jualan sebanyak 12,200 unit bagi FY2027, meningkat 24.3% berbanding tahun sebelumnya. Pada 1QFY2027, jenama itu menjual 3,024 unit atau mencapai 25% daripada sasaran tahunan, selain mempunyai kira-kira 1,200 tempahan yang masih belum dipenuhi.
Model Mazda CX-5 baharu dengan enjin 2.5 liter berharga RM169,000 menerima kira-kira 800 tempahan sebelum pelancaran rasminya. Model itu dirancang untuk dipasang secara pemasangan tempatan (CKD) di kilang Inokom, Kulim mulai tahun depan.
Mazda turut melancarkan CX-60 3.3 liter pada harga RM253,000 tahun ini. Mazda Motor juga mengesahkan pembangunan generasi baharu CX-3, dengan pelancaran berperingkat di ASEAN dan pasaran global bermula tahun kalendar 2027 (CY2027).
Bermaz Auto sebelum ini turut memberi petunjuk mengenai kemungkinan memperkenalkan generasi baharu CX-30 pada 2028 atau 2029.
XPeng perluas rangkaian model, margin dijangka bertambah baik
Sementara itu, XPeng menyasarkan jualan sebanyak 2,000 unit bagi FY2027, meningkat 33.2% berbanding 1,501 unit pada FY2026. Jenama kenderaan elektrik itu menjual 409 unit pada 1QFY2027, bersamaan 20% daripada sasaran tahunan, dengan kira-kira 250 tempahan masih belum dipenuhi.
MBSB berkata margin XPeng pada suku pertama terjejas oleh aktiviti promosi untuk menghabiskan baki inventori model G6 dan X9 yang diimport sebagai kenderaan siap bina (CBU). Kedua-dua model itu kini dipasang secara tempatan di kilang EPMB di Melaka.
“Sebahagian perbelanjaan pemasaran juga akan dibayar balik oleh prinsipal XPeng, menurut maklumat yang kami terima,” katanya.
Bermaz Auto sebelum ini menyatakan sebuah SUV elektrik segmen D baharu akan dilancarkan menjelang akhir CY2026, yang dipercayai secara meluas sebagai XPeng G9L.
Model XPeng L03, sebuah SUV elektrik segmen C di bawah subjenama MONA yang menyasarkan pasaran lebih mampu milik, pula dijangka dilancarkan pada April 2027. Harganya dianggarkan sekitar RM110,000 berdasarkan penukaran terus daripada harga jualan di Thailand.
Keuntungan teras dijangka meningkat kepada RM140.9 juta
MBSB Research mengunjurkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti teras (PATAMI) Bermaz Auto meningkat kepada RM140.9 juta bagi FY2027, berbanding RM103.6 juta pada FY2026, sebelum meningkat lagi kepada RM149.3 juta pada FY2028.
Kedudukan tunai bersih syarikat sebanyak RM187.4 juta pada akhir 1QFY2027 turut menyokong prospek pembayaran dividen yang menarik.
Firma itu menganggarkan dividen sesaham sebanyak 8.1 sen bagi FY2027 dan 8.6 sen bagi FY2028, berbanding enam sen bagi FY2026. Anggaran itu bersamaan hasil dividen masing-masing sekitar 9% dan 9.6%, berdasarkan andaian harga saham dalam laporan berkenaan.
Naik taraf saranan kepada Beli
Susulan peningkatan unjuran keuntungan, MBSB Research menaik taraf saranannya terhadap Bermaz Auto kepada Beli daripada Neutral selain menaikkan harga sasaran kepada 99 sen daripada 85 sen.
Harga sasaran baharu itu berasaskan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) sebanyak lapan kali bagi anggaran pendapatan FY2027. Ia mewakili potensi kenaikan sebanyak 10.4% berbanding harga saham 90 sen pada 8 Oktober 2026.
Dengan anggaran hasil dividen sekitar 9%, jumlah potensi pulangan dalam tempoh 12 bulan diunjurkan sebanyak 19.4%. Bagaimanapun, MBSB Research kekal berhati-hati terhadap persaingan berterusan dalam segmen kenderaan bukan nasional. - DagangNews.com






