
ALOR SETAR: Keputusan mahkamah berhubung penutupan lesen premis judi bukan noktah kepada Kedah membanteras kegiatan itu, sebaliknya pihak berkuasa tempatan (PBT) masih mempunyai ruang menggunakan kuasa sedia ada untuk menyekat operasi perjudian negeri ini.
Pengerusi Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) Pas, Wan Rohimi Wan Daud berkata, kuasa PBT di bawah Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) boleh digunakan secara optimum bagi mengawal selia premis dan aktiviti perniagaan dalam kawasan pentadbiran masing-masing.
“Walaupun kita kalah, kita sudah langgar dinding tapi sebenarnya kita tidak perlu kecewa sebab dalam undang-undang akan sentiasa ada ruang untuk membuat ijtihad baru kerana ia bukan al-Quran yang tak boleh diubah.
“Ahli-ahli majlis perlu berfungsi dan menggunakan kepakaran mereka dengan sebaiknya, termasuk mengetatkan syarat, membuat pengezonan serta menggunakan kuasa yang dibenarkan undang-undang,” katanya pada Sesi Penjelasan Isu Halangan Pengharaman Judi di Kedah, semalam.
Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos lalu menolak permohonan kerajaan Kedah untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan yang membatalkan tindakan menghentikan pengeluaran dan pembaharuan lesen perniagaan premis perjudian di negeri itu.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Rhodzariah Bujang bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin menolak permohonan itu secara sebulat suara serta memerintahkan kerajaan negeri membayar kos RM50,000.
Wan Rohimi berkata, PBT juga boleh melihat aspek seperti peningkatan kadar fi, lokasi premis dan syarat operasi bagi memastikan kegiatan perjudian tidak mudah berkembang, selagi ia tertakluk kepada bidang kuasa serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurutnya, antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan ialah mengehadkan lokasi premis perjudian daripada kawasan sensitif seperti masjid atau rumah ibadat dan kawasan tumpuan awam.
“Jadi walaupun Kedah kalah, masih ada ruang. Apabila kita menyusahkan operasi perjudian, akhirnya mereka akan pergi kerana mereka menjalankan perniagaan untuk mendapatkan keuntungan. Kalau tidak menguntungkan, mereka akan berundur,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha Kedah untuk membanteras perjudian sebelum ini telah dilaksanakan berdasarkan pendirian serta amanah yang diberikan rakyat kepada kerajaan negeri.
Katanya, keputusan mahkamah itu sekurang-kurangnya melepaskan beban kerajaan negeri selepas semua usaha perundangan diambil bagi mempertahankan dasar tersebut.
Dalam pada itu, Wan Rohimi mendakwa perkembangan kes di Kedah berpotensi menjadi rujukan kepada pihak yang mahu mencabar tindakan berkaitan perjudian di negeri lain terutama di Perlis.
Beliau berkata, perkara itu perlu diberi perhatian oleh kerajaan negeri terlibat supaya pendekatan membanteras perjudian dapat dilaksanakan berdasarkan ruang kuasa dan undang-undang yang tersedia.
“Saya dimaklumkan di Perlis, kumpulan berkaitan judi ini sudah failkan kes baharu untuk mencabar dasar atau polisi negeri macam di Kedah dan mereka juga mungkin akan pergi kepada negeri-negeri lain,” katanya. – UTUSAN
The post Kalah kes judi bukan noktah, PBT Kedah masih ada ruang appeared first on Utusan Malaysia.





