
BALING: Larangan terhadap aktiviti perjudian bukan sahaja berasaskan hukum agama Islam, malah kerajaan mempunyai hak untuk memperkenalkan dasar berkaitan bagi menjaga keharmonian serta kepentingan masyarakat keseluruhannya.
Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, perjudian jelas dilarang dalam al-Quran dan umat Islam wajib mematuhi ketetapan itu apabila sesuatu perkara telah ditetapkan sebagai larangan oleh Allah SWT.
Menurut beliau, kebebasan masyarakat bukan Islam untuk mengamalkan agama dan budaya masing-masing tetap dihormati, namun terdapat aktiviti tertentu yang kesannya boleh memudaratkan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama.
“Judi sudah jelas dalam al-Quran, dilarang oleh Allah SWT. Apabila ia dilarang, maka bagi kita perlu akur dan patuh.
“Bagaimanapun, bagi bukan Islam di negara kita, mereka bebas dalam aspek ibadah dan menjalani kehidupan mengikut budaya masing-masing.
“Tapi dari segi judi, arak ia adalah aktiviti yang mempunyai kesan buruk, termasuk menjejaskan kedudukan ekonomi tidak kira kepada orang Islam atau bukan Islam,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Kolej Kediaman Pelajar UniSHAMS, semalam.
Menurutnya, berdasarkan kesan buruk yang boleh ditimbulkan aktiviti perjudian, pihak pemerintah mempunyai ruang untuk memperkenalkan dasar bagi mengawal atau menyekat aktiviti itu demi kepentingan masyarakat.
“Sebab itu, bagi pihak pemerintah, mereka berhak untuk memperkenalkan satu dasar, katakan judi itu (dilarang), untuk menjaga keharmonian masyarakat sama ada Muslim dan bukan Muslim,” katanya.
Berkuat kuasa 1 Januari 2023, Kerajaan Kedah mengumumkan untuk tidak meneruskan pemberian lesen premis operasi perjudian berdasarkan keputusan anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 8 Disember 2021.
Sementara itu, Mahkamah Persekutuan pada 12 Ogos lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan arahan Kerajaan Kedah adalah ultra vires (di luar bidang kuasa) serta tidak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Pada 12 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menerusi keputusan majoriti 2-1 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati arahan Kerajaan Kedah untuk tidak mengeluarkan dan memperbaharui lesen perniagaan perjudian adalah tidak berperlembagaan. – UTUSAN
The post Pemerintah berhak dasar larang judi demi keharmonian masyarakat appeared first on Utusan Malaysia.






