sarah24/11/2026 - 09:26 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Nov - Kerugian bersih pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2018 hingga 2025 dianggarkan sebanyak RM2.8 bilion, kira-kira RM200 juta lebih tinggi berbanding angka kerugian rosot nilai RM2.6 bilion yang dilaporkan pada Ogos lalu.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menjelaskan bahawa jumlah terbaharu itu merangkumi tujuh pelaburan yang mengalami kerugian sepenuhnya serta satu pelaburan yang mengalami rosot nilai sebahagian.
Tujuh pelaburan berkenaan mencatatkan kerugian keseluruhan RM2.58 bilion, manakala pelaburan dalam TH Marine Holding (L) Inc merekodkan kerugian RM198.10 juta, menjadikan jumlah keseluruhannya kira-kira RM2.78 bilion.
Bagaimanapun, perbezaan angka tersebut tidak semestinya mencerminkan kerugian baharu kerana asas pengiraan kedua-dua jumlah berkenaan mungkin berbeza.
Al-Rawda penyumbang kerugian terbesar
Daripada tujuh pelaburan yang mengalami kerugian sepenuhnya, Al-Rawda Real Estates mencatatkan kerugian terbesar sebanyak RM1.86 bilion, diikuti Trurich Resources Sdn Bhd (RM364.31 juta) dan Putrajaya Perdana Berhad (RM193.49 juta).
Empat lagi pelaburan membabitkan Al-Fareeda Residential Fund (RM82 juta), Abraj Sdn Bhd (RM40.23 juta), Emrail Sdn Bhd (RM19.30 juta) dan Wellspring Worldwide Ltd (RM18.40 juta).
MOF berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh mengenai butiran kerugian TH yang mencecah RM13 bilion, termasuk nilai pelaburan asal, kerugian direalisasikan dan belum direalisasikan serta jumlah yang masih berpotensi dipulihkan.
Enam pelaburan ketepikan kepentingan pendeposit
MOF turut memaklumkan bahawa enam lagi pelaburan yang dikenal pasti menerusi Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) melibatkan kelemahan tadbir urus serius sehingga menyebabkan kepentingan pendeposit diketepikan dan pihak lain mendapat kelebihan daripada urus niaga berkenaan.
Pelaburan tersebut membabitkan PT TH Indo Plantations, Deru Semangat Sdn Bhd, TH Plantations Berhad, TH Properties Sdn Bhd, TH Hotel & Residences Sdn Bhd serta saham FGV Holdings Berhad.
Jumlah dana berpotensi dipulihkan belum diperincikan
MOF menjelaskan bahawa daripada keseluruhan kerugian sekitar RM13 bilion, sebanyak RM10.2 bilion merupakan premium pemindahan aset kurang berdaya saing TH kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) pada 2018, apabila aset berkenaan diambil alih pada nilai RM19.9 bilion berbanding nilai pasaran RM9.7 bilion.
Menurut kementerian itu, TH telah berjaya memulihkan sebahagian daripada pelaburan bermasalahnya, manakala tindakan pemulihan bagi pelaburan lain masih diteruskan, namun jumlah dana yang telah diperoleh semula dan nilai yang masih berpotensi dipulihkan tidak diperincikan.
Kerajaan kini memberi keutamaan kepada pengukuhan tadbir urus, pengurusan risiko dan pemantauan pelaburan TH, termasuk menerusi pindaan Akta Tabung Haji 1955 bagi memastikan kepentingan pendeposit terus dilindungi.- DagangNews.com






