Kedah sasar pelaburan RM125.3 bilion dan lebih 75,000 peluang pekerjaan menjelang 2030

LocalBusiness & Finance
24 Nov 2026 • 6:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kedah sasar pelaburan RM125.3 bilion dan lebih 75,000 peluang pekerjaan menjelang 2030 Image from: Kedah sasar pelaburan RM125.3 bilion dan lebih 75,000 peluang pekerjaan menjelang 2030 sarah24/11/2026 - 18:03 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 24 Nov - Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menyasarkan Kedah mencapai pelaburan direalisasikan secara kumulatif sebanyak RM125.3 bilion dan mewujudkan lebih 75,000 peluang pekerjaan menjelang 2030, disokong pembangunan projek strategik dalam sektor pembuatan dan teknologi.

 

Menerusi Pelan Pembangunan Strategik NCER 2026-2030, Kedah turut disasarkan mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM72.7 bilion, selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

 

Setakat 31 Oktober 2026, NCER mencatatkan pelaburan direalisasikan sebanyak RM7.56 bilion di Kedah, sekali gus mewujudkan 6,758 peluang pekerjaan baharu.

 

Sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama dengan mewakili lebih 96% daripada jumlah pelaburan direalisasikan, manakala pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang kira-kira 90% daripada keseluruhan pelaburan yang dicatatkan.

 

Pencapaian itu diumumkan sempena Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Kedah yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, hari ini.

 

Taman teknologi berpotensi tarik pelaburan RM12.9 bilion

Pembangunan Kedah Science & Technology Park (KSTP) Fasa 2A kini mencapai tahap kemajuan 92.1% dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2027.

 

Projek berkenaan berpotensi menarik pelaburan swasta bernilai RM12.9 bilion serta mewujudkan lebih 23,000 peluang pekerjaan, sekali gus menjadi antara pemacu pertumbuhan ekonomi negeri.

 

Sementara itu, Kedah Rubber City (KRC) mencatatkan pelaburan dikenal pasti berjumlah RM3.18 bilion melibatkan empat pelabur yang telah menyatakan komitmen, dengan potensi mewujudkan lebih 1,300 peluang pekerjaan.

 

Antara projek utama di KRC ialah pelaburan bernilai RM2.56 bilion oleh Prinx Tire (M) Sdn Bhd, dengan pembinaan kilang tayarnya kini mencapai tahap kemajuan 85%.

 

KRC turut menerima projek baharu membabitkan pembangunan ladang solar di bawah Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) oleh HLGY Energy Sdn Bhd bernilai RM500 juta yang kini memasuki fasa pembangunan.

 

Percepat pelaksanaan pelaburan strategik

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata, pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri dan rakan strategik bagi mempercepat pelaksanaan pelaburan berimpak tinggi.

 

“NCER akan terus mengekalkan momentum pencapaian ini sehingga penghujung tahun 2026 dengan mempergiat usaha merealisasikan pelaburan strategik yang memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti serta mempertingkat kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya dalam kenyataan hari ini. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved