Pelaburan pusat data RM385.7 bilion, kita cuma jadi tuan tanah AI?

LocalBusiness & Finance
20 Nov 2026 • 7:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pelaburan pusat data RM385.7 bilion, kita cuma jadi tuan tanah AI? Image from: Pelaburan pusat data RM385.7 bilion, kita cuma jadi tuan tanah AI? Eksponen20/11/2026 - 07:00 Oleh WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA editor@dagangnews.com

RM385.7 bilion adalah angka besar dam boleh membuat orang di dewan pelancaran bertepuk tangan lebih lama daripada biasa. Kalau boleh, semua sifar mahu dipamerkan di belakang pentas.

 

Cip kecerdasan buatan (AI), malangnya, tak ikut kuat mana orang bertepuk. Pada 16 November, Amerika Syarikat memperkenalkan syarat lesen baharu bagi eksport cip AI canggih tertentu ke Malaysia dan empat negara lain. Washington turut mengetatkan akses kepada kuasa pengkomputeran bagi pihak yang dikenakan sekatan.

 

Syarikat yang memenuhi syarat masih boleh memohon lesen untuk mengimport cip berkenaan.

 

Di situlah kedudukan kita. Pusat data boleh dibina di Johor, tetapi bekalan cip tertentu untuk pusat itu boleh bergantung pada keputusan Washington.

 

Kita sediakan tempat. Sebahagian kuncinya masih di tangan orang lain.

 

Banyak sifar, jangan sampai salah kira

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pelaburan berkaitan pusat data yang diluluskan dari 2021 hingga separuh pertama 2026 mencecah RM385.7 bilion. Daripada 117 projek yang diluluskan, 55 sudah beroperasi.

 

Pelaburan asing membawa kontrak, peluang pekerjaan dan pengetahuan baharu, selain mewujudkan permintaan untuk barangan dan perkhidmatan tempatan. Malaysia juga ada kelebihan. Kita sudah berdekad-dekad membangunkan industri elektrik dan elektronik.

 

Cuma, angka kelulusan belum menunjukkan berapa banyak wang yang sudah dibelanjakan. Daripada jumlah yang dibelanjakan itu, berapa banyak pula yang akhirnya menjadi pendapatan kepada pekerja dan syarikat di Malaysia?

 

Sebuah pusat data boleh dibina oleh pekerja tempatan, dipasang dengan cip import dan menggunakan perisian asing untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan antarabangsa.

 

Tiada salahnya. Begitulah perdagangan global berfungsi.

 

Tetapi selepas kontraktor pulang, siapa menguasai teknologi? Siapa berurusan dengan pelanggan dan menentukan harga? Kalau yang kita kira cuma nilai bangunan, kita boleh terlepas pandang siapa yang menguasai perniagaan selepas pusat data mula beroperasi.

 

Washington tukar syarat, kita kira kerugian?

Amerika Syarikat mahu menghalang teknologi sensitif daripada sampai kepada pihak yang disekat, termasuk melalui negara ketiga. Malaysia juga tidak patut dijadikan laluan untuk menyeludup cip.

 

Bagi pengendali yang menjalankan perniagaan secara sah, mematuhi syarat lesen mengambil masa dan menambah kos. Kalau kelulusan belum pasti, pembiayaan projek, kontrak dengan pelanggan dan rancangan untuk menambah kapasiti turut terkesan.

 

Pusat data dibina untuk beroperasi selama puluhan tahun. Satu pengumuman politik sudah cukup untuk mengubah peraturan perdagangan yang dihadapi pengendalinya.

 

Perkara ini jarang dibincangkan ketika majlis pecah tanah. Pelabur menanggung risiko apabila teknologi atau dasar perdagangan berubah. Pada masa yang sama, negara tuan rumah sudah mengeluarkan belanja untuk menyediakan infrastruktur.

 

Malaysia perlu berunding dengan Washington dan memperketat semakan terhadap pihak yang akhirnya menggunakan cip itu. Pengendali yang mematuhi peraturan pula perlu tahu apa yang dikehendaki daripada mereka supaya mereka boleh merancang.

 

Walaupun Malaysia mengambil pendirian berkecuali, keputusan perdagangan kuasa besar tetap memberi kesan kepada projek di sini.

 

Elektrik kita, nilai tambah siapa punya?

Di Parlimen, kerajaan menganggarkan 117 projek yang diluluskan berpotensi memerlukan sehingga 23,500 megawatt apabila semuanya beroperasi pada kapasiti penuh. Angka itu ialah unjuran penggunaan pada kapasiti penuh.

 

Kerajaan turut menangguhkan 24 permohonan baharu sementara menilai kemampuan bekalan air dan elektrik.

 

Bagus. Sekurang-kurangnya kita mula mengira sesuatu selain nilai pelaburan. Kalau kapasiti grid sudah diperuntukkan kepada pusat data, kapasiti yang sama tak boleh dijanjikan kepada kilang lain.

 

Kalau pengendali menempah kapasiti elektrik tetapi akhirnya tidak menggunakannya, kenapa pengguna biasa pula perlu menanggung kosnya?

 

Kerajaan juga memperkenalkan syarat minimum 30% kandungan tempatan bagi projek tertentu. Itu langkah yang munasabah. Lama-kelamaan, sumbangan tempatan sepatutnya melangkaui bekalan konkrit dan kabel, kerja pemasangan serta penyelenggaraan.

 

Kita mahu jurutera tempatan terlibat dalam reka bentuk sistem dan syarikat Malaysia membangunkan perisian. Perusahaan kecil juga perlu boleh menggunakan kemudahan pengkomputeran itu pada harga yang mampu mereka bayar.

 

Apa pulangan untuk Malaysia?

Pusat data yang menelan belanja berbilion ringgit belum tentu memerlukan ramai pekerja selepas mula beroperasi.

 

Jadi, berapa banyak nilai yang kita dapat daripada setiap ringgit insentif dan setiap megawatt yang diperuntukkan?

 

Pelabur sendiri teliti mengira pulangan mereka. Mengapa kerajaan perlu segan membuat kira-kira yang sama?

 

Jangan sampai jadi penyewa di rumah sendiri

Untuk mempunyai lebih banyak kawalan ke atas teknologi yang kita gunakan, Malaysia tak perlu bercita-cita membuat setiap jenis cip. Itu bukan rancangan ekonomi yang praktikal.

 

Yang kita perlukan ialah pilihan apabila pembekal menukar syarat dan tenaga mahir yang boleh mengendalikan teknologi itu. Apabila pelabur meminta lebih banyak kemudahan, Malaysia juga perlu ada ruang untuk berunding tentang apa yang kita dapat sebagai balasan.

 

Kerajaan wajar melaporkan berapa banyak pelaburan yang sudah direalisasikan, berapa banyak pekerjaan mahir yang diwujudkan dan kontrak teknologi yang diperoleh syarikat tempatan. Laporkan juga jumlah air dan tenaga yang digunakan.

 

Kita juga perlu tahu berapa banyak perusahaan Malaysia yang benar-benar menggunakan kemudahan pengkomputeran yang dibina di sini.

 

RM385.7 bilion memberi Malaysia peluang membina industri yang lebih kukuh. Ukur kejayaannya dengan melihat kerja, kontrak dan kepakaran yang tinggal di sini selepas mesin dipasang.

 

Kalau akhirnya kita cuma menyediakan tanah, elektrik dan air, bolehlah Malaysia berbangga menjadi tuan rumah AI paling rajin di rantau ini.

 

Cuma tuan rumah yang rajin belum tentu boleh menentukan apa yang berlaku di rumah sendiri. - DagangNews.com

 

WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Segamat. Beliau juga penganalisis industri, kolumnis dan penulis yang kerap mengulas perkembangan kewangan, pelaburan, perniagaan dan ekonomi Malaysia.
Kolumnis Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved