Tabung Haji labur hampir 90% aset di Malaysia, pelaburan luar negara hanya 10% - Parlimen diberitahu

LocalBusiness & Finance
18 Nov 2026 • 4:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tabung Haji labur hampir 90% aset di Malaysia, pelaburan luar negara hanya 10% - Parlimen diberitahu Image from: Tabung Haji labur hampir 90% aset di Malaysia, pelaburan luar negara hanya 10% - Parlimen diberitahu sarah18/11/2026 - 16:51 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Nov - Lembaga Tabung Haji (TH) memperuntukkan hampir 90% aset pelaburannya dalam pasaran domestik, manakala hanya 10% dilaburkan di luar negara bagi memastikan dana pendeposit diurus secara berhemat ketika berdepan ketidaktentuan ekonomi global.

 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli berkata, walaupun rangka peruntukan aset strategik (SAA) TH membenarkan pendedahan lebih besar kepada pasaran global, aktiviti pelaburannya perlu mematuhi garis panduan pertukaran mata wang asing yang ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Beliau berkata, keperluan itu turut terpakai kepada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) lain, manakala strategi pelaburan TH dilaksanakan berdasarkan tahap toleransi risiko yang bersesuaian bagi melindungi simpanan pendeposit.

 

"Rangka ini bertujuan memastikan dana pendeposit diurus secara berhemat dan kekal selamat, walaupun dijamin sepenuhnya oleh Kerajaan," katanya menjawab soalan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) di Dewan Rakyat, hari ini.

 

54% pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap

Marhamah berkata, sebanyak 54% alokasi pelaburan TH ditempatkan dalam instrumen pendapatan tetap, diikuti ekuiti sebanyak 29%, hartanah 12% dan baki 5% dalam pasaran tunai.

 

Menurutnya, rangka SAA disemak setiap tiga tahun bagi memastikan strategi pelaburan dan pengurusan risiko mengambil kira perubahan persekitaran ekonomi serta pasaran modal, termasuk ketidaktentuan pasaran global.

 

Beliau berkata, setiap cadangan pelaburan turut melalui proses penelitian dan kelulusan berperingkat melibatkan pihak pengurusan, Panel Pelaburan dan Lembaga TH sebelum dikemukakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), tertakluk kepada had kuasa dan keperluan kelulusan yang berkuat kuasa.

 

Aset pelaburan meningkat kepada RM96.4 bilion

Marhamah berkata, pendekatan pelaburan berkenaan menyokong peningkatan nilai aset pelaburan di bawah pengurusan (AUM) TH sebanyak RM20.6 bilion atau 27%, daripada RM75.8 bilion pada 2018 kepada RM96.4 bilion pada 2025.

 

Katanya, kadar agihan keuntungan kepada pendeposit turut meningkat daripada 1.25% pada 2018 kepada 3.5% pada 2025, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun, mencerminkan peningkatan prestasi kewangan TH.

 

Secara keseluruhannya, TH telah mengagihkan keuntungan terkumpul sebanyak RM50 bilion kepada pendeposit sejak 1966 hingga 2025, dengan agihan tahunan dibuat mengikut peruntukan Akta Tabung Haji 1995 selepas pelunasan zakat bagi pihak pendeposit. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved