
RANTAU PANJANG: Hasrat seorang lelaki bertemu isterinya di Thailand membawa padah apabila dia ditahan selepas memasuki Malaysia secara haram dengan menyeberangi Sungai Golok menggunakan perahu melalui pangkalan haram Abe Yie Paking di sini, semalam.
Lelaki berusia 54 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2.45 petang ketika anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan di kawasan berkenaan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, dua anggota PGA melihat seorang lelaki menaiki sebuah perahu dari arah Thailand menghampiri tebing Sungai Golok di pangkalan haram Abe Yie Paking.
Katanya, pemeriksaan terhadap tubuh badan lelaki berasal dari Kuala Lumpur itu tidak menemukan sebarang barangan yang menyalahi undang-undang.
“Suspek didapati melakukan kesalahan memasuki negara ini melalui jalan yang tidak sah.
“Hasil soal siasat mendapati, lelaki itu masuk ke Sungai Golok, Thailand dengan perahu untuk bertemu isterinya di negara berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Ahmad Radzi, suspek dibawa ke Kompeni Taktikal PGA, Taman Bakti di sini sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.-UTUSAN
The post Jumpa isteri di Thailand, lelaki ditahan masuk Malaysia secara haram appeared first on Utusan Malaysia.






