Nak jumpa isteri di Golok, suami kantoi masuk ikut pangkalan haram

2 Sep 2026 • 10:28 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Nak jumpa isteri di Golok, suami kantoi masuk ikut pangkalan haram
Seorang lelaki tempatan ditahan dipercayai memasuki Malaysia melalui pangkalan haram selepas menemui isterinya di Golok, Thailand pada Selasa. Foto: PGA

RANTAU PANJANG - Seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dipercayai memasuki Malaysia menggunakan perahu melalui pangkalan haram selepas menemui isterinya di Golok, Thailand pada Selasa.

Lelaki terbabit dikesan anggota Strike Force Kompeni C, Batalion 8 PGA ketika perahu dinaikinya dari arah Thailand menghampiri tebing Sungai Golok di pangkalan haram Abe Yie Paking kira-kira jam 2.45 petang.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota yang menjalankan pemantauan kemudian menghampiri lelaki berkenaan sebelum memperkenalkan diri dan melakukan pemeriksaan.

"Pemeriksaan tubuh badan terhadap lelaki itu tidak menemukan sebarang barangan yang menyalahi undang-undang.

"Bagaimanapun, dia ditahan kerana disyaki memasuki Malaysia melalui jalan yang tidak sah dan dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Menurutnya, hasil soal siasat ringkas mendapati lelaki terbabit sebelum itu masuk ke Thailand bagi menemui isterinya di Golok.

Ahmad Radzi memberitahu, lelaki yang juga rakyat Malaysia itu menjalani ujian saringan air kencing dan didapati negatif.

"Kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan dan tindakan selanjutnya serta disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved