

RANTAU PANJANG – Belum sempat menjejakkan kaki ke negara ini selepas bertemu isterinya di Thailand, seorang lelaki dicekup apabila didapati menyeberangi Sungai Golok dengan menaiki perahu melalui pangkalan haram Abe Yie Paking di sini semalam.
Lelaki berusia 54 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2.45 petang ketika anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan OP Taring Wawasan Kelantan di kawasan tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, dua anggota PGA melihat seorang lelaki menaiki sebuah perahu dari arah Thailand menghampiri ke tebing Sungai Golok di pangkalan haram Abe Yie Paking di sini.
Katanya, pemeriksaan tubuh badan terhadap lelaki yang berasal dari Kuala Lumpur itu tidak menjumpai barangan yang menyalahi undang-undang.
“Suspek didapati melakukan kesalahan memasuki negara ini melalui jalan yang tidak sah.
“Hasil soal siasat mendapati, lelaki itu masuk ke Sungai Golok, Thailand dengan perahu untuk bertemu isterinya di negara berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, suspek dibawa ke kompeni taktikal PGA, Taman Bakti di sini sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5 (2) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki dicekup seberang Sungai Golok lepas jumpa isteri di Thailand appeared first on Kosmo Digital.






