Jun Hao masih No.1, tapi sampai bila?

5 Sep 2026 • 8:15 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jun Hao masih No.1, tapi sampai bila?

KUALA LUMPUR: Status Leong Jun Hao sebagai perseorangan lelaki No.1 dalam sistem badminton negara masih belum tergugat, tetapi persoalan lebih besar kini ialah sampai bila kepercayaan itu mampu bertahan jika prestasi terus merudum.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen sendiri mengakui Jun Hao masih pemain terbaik Malaysia secara keseluruhan, namun pada masa sama menggesa anak buahnya itu mula menterjemahkan peningkatan dalam latihan kepada keputusan yang mampu membawanya lebih jauh dalam kejohanan.

Kenneth turut menyifatkan kekalahan terbaru Jun Hao kepada pemain No.1 dunia, Jonatan Christie di China Masters sebagai peluang yang terlepas selepas pemain negara itu gagal memanfaatkan kelebihan 19-16 pada set kedua untuk memaksa set penentuan.

“Saya menghormati Jonatan Christie kerana dia kini pemain No.1 dunia, tetapi saya merasakan ini sebenarnya peluang yang terlepas buat Jun Hao untuk meraih kemenangan kerana saya tidak melihat prestasi Jonatan berada pada tahap yang begitu tinggi.

“Secara keseluruhan musim ini saya melihat perubahan dan peningkatan dalam permainannya, tetapi anda perlu memenangi lebih daripada satu perlawanan dalam kejohanan untuk mara ke suku akhir kerana pada tahap 750 dan 1000, lapan pemain yang berada di suku akhir mungkin adalah antara pemain terbaik dunia pada minggu itu,” katanya.

Rekod Jun Hao bagaimanapun sukar disembunyikan apabila kekalahan kepada Jonatan menyaksikan dia tersingkir pada pusingan pertama buat kali ketujuh daripada 12 kejohanan musim ini, selain masih gagal melepasi pusingan kedua dalam mana-mana kejohanan sepanjang 2026.

Lebih membimbangkan, Jun Hao sendiri mengakui dia terlalu tergesa-gesa ketika cuba menamatkan set kedua selepas mendahului 19-16, sekali gus memberi ruang kepada Jonatan meraih lima mata berturut-turut untuk menutup perlawanan.

Kenneth berkata, perkembangan kecil dalam permainan Jun Hao masih membuatkannya positif, tetapi keputusan yang tidak berubah menyebabkan persoalan terhadap kemampuan pemain itu mencapai tahap diperlukan terus timbul.

“Perkara kecil yang meningkat itulah yang membuatkan saya kekal positif, tetapi keputusan seperti yang anda katakan membuatkan saya terus tertanya-tanya sama ada kita mampu mencapai tahap itu.

“Saya masih melihat Jun Hao sebagai nombor satu keseluruhan kami kerana dia mempunyai prestasi terbaik, walaupun kami tahu dia sedikit turun naik, tetapi secara keseluruhan dia masih berkembang dan komitmennya dalam latihan serta hari ke hari semakin baik,” katanya. – UTUSAN

The post Jun Hao masih No.1, tapi sampai bila? appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved