Jonassen cabar pemain cipta kejutan di Kejohanan Dunia

9 Aug 2026 • 9:04 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jonassen cabar pemain cipta kejutan di Kejohanan Dunia

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan negara akan turun selaku ‘underdog’ pada Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi, India, 17-23 Ogos ini, tetapi, Kenneth Jonassen mencabar anak-anak buahnya hadir dengan mentaliti ‘gergasi’.  

Pengarah Kejurulatihan Pemain Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM) itu berkata, penyertaan di kejohanan besar seperti kejohanan dunia merupakan peluang untuk para pemainnya mencipta nama di pentas antarabangsa.

“Ini adalah masa penting dalam kerjaya seseorang pemain. Untuk kejohanan ini, bagi mana-mana pemain perseorangan, jika anda mahu mencipta nama dan sesuatu yang baik, anda perlu menewaskan pemain pilihan.

“Itulah mentaliti yang kami bawa. Kami telah bersedia sebagaimana sepatutnya untuk kejohanan besar, bermakna kami datang dengan cita-cita untuk menumbangkan beberapa pemain pilihan.

“Saya mengharapkan lebih daripada sekadar perlawanan yang baik, saya harap kita

boleh lakukan kejutan. Itulah mentaliti dan cita-cita kami selaku jurulatih,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan pemain kebangsaan di ABM dekat sini, kelmarin.

Malaysia mempunyai empat wakil iaitu Leong Jun Hao, Justin Hoh, K. Letshanaa serta Wong Ling Ching dan tiga pemain akan bertemu lawan yang mudah di pusingan pertama, kecuali Justin terpaksa berdepan bintang No. 8 dunia, Lin Chun Yi dari Taiwan.

Mengulas mengenai undian Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu, Jonassen menyifatkan secara keseluruhan para pemainnya telah dilayan dengan agak adil apabila tiga daripada empat wakil negara bertemu dengan pencabar bukan pilihan.

“Setakat ini, saya masih belum sempat untuk bercakap dengan pemain mengenai undian itu lagi. Bermula minggu depan, kami akan fokus secara individu tentang lawan mereka di pusingan pertama dan kedua.

“Untuk Justin, persediaannya lebih khusus kerana menentang juara All England. Saya sangat menantikan minggu terakhir ini dan mula merasai debaran ke kejohanan besar untuk melihat di mana tahap kita,” ujarnya.

Ketika ditanya pula tentang peluang para pemainnya membawa pulang gelaran, jurulatih kelahiran Denmark itu berkata, berdasarkan kedudukan ranking dunia dan keputusan sebelum ini, memenangi gelaran adalah satu cita-cita dan impian.

“Secara realistik, kita perlu menunjukkan prestasi luar biasa untuk kejohanan ini. Namun fokus saya dan jurulatih lain adalah proses jangka panjang dengan matlamat akhir memenangi pingat dan mencabar kejuaraan, tetapi, untuk kali ini, ia adalah tugas berat,” tegas beliau.-UTUSAN

The post Jonassen cabar pemain cipta kejutan di Kejohanan Dunia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved