Jun Hao perlu buktikan kemampuan

5 Sep 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jun Hao perlu buktikan kemampuan

LEONG Jun Hao masih menjadi sandaran utama perseorangan lelaki negara, namun status itu perlu dibuktikan menerusi keputusan lebih meyakinkan selepas pemain berusia 27 tahun tersebut terus bergelut untuk melangkah jauh musim ini.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Negara, Kenneth Jonassen mengakui perkembangan Jun Hao terutama ketika latihan cukup positif, tetapi peningkatan itu perlu diterjemahkan kepada kemenangan termasuk keupayaan menewaskan pemain kelompok 10 terbaik dunia.

Kekalahan 17-21, 19-21 kepada pemain No. 1 dunia dari Indonesia, Jonatan Christie pada pusingan pertama China Masters menjadi contoh terbaharu apabila Jun Hao mensia-siakan kelebihan 19-16 pada set kedua.

“Saya menghormati Jonatan, tetapi saya merasakan ini sebenarnya peluang yang terlepas buat Jun Hao kerana saya tidak fikir prestasi Jonatan berada pada tahap begitu tinggi,” kata Kenneth.

Menurut pengendali dari Denmark itu, Jun Hao sudah menunjukkan beberapa peningkatan kecil dalam permainannya, namun keputusan menjadi ukuran sebenar sekiranya mahu membuktikan kemampuan bersaing dengan pemain terbaik dunia.

“Perkara-perkara kecil yang meningkat membuatkan saya kekal positif. Keputusan pula membuatkan saya terus mempersoalkan sama ada kita mampu mencapai tahap itu.

“Saya bukan bercakap mengenai melakukannya secara konsisten minggu demi minggu, tetapi perlu ada minggu kita mara ke suku akhir dan diharapkan lebih jauh. Anda perlu memenangi lebih daripada satu perlawanan dalam sesebuah kejohanan,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

 

The post Jun Hao perlu buktikan kemampuan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved