Junjung titah Sultan, PAS Selangor meninjau plak monumen Rukun Negara

LocalPolitics
20 May 2026 • 12:12 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Ahli Jawatankuasa Harian PAS Selangor meninjau Monumen Rukun Negara di Dataran Selangor sebagai menjunjung titah Sultan Selangor.

Ahli Jawatankuasa Harian PAS Selangor pada Selasa mengadakan lawatan ke Dataran Selangor bagi meninjau Plak Monumen Rukun Negara, sebagai menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar prinsip-prinsip Rukun Negara dibaca, difahami dan dihayati.

Lawatan tersebut diketuai oleh Datuk Dr. Halim Tamuri bersama saf kepimpinan Dewan Harian PAS Selangor. Ia turut dizahirkan sebagai tanda menjunjung kasih serta menzahirkan taat setia kepada Institusi Diraja Selangor.

Menurut kenyataan itu, Rukun Negara bukan sekadar lafaz rasmi, sebaliknya menjadi tunjang utama dalam membina perpaduan, menghormati Perlembagaan dan memelihara kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu.

“Rukun Negara bukan sekadar lafaz rasmi. Ia adalah asas penting dalam membina masyarakat yang beradab, bersatu padu, menghormati Perlembagaan dan memelihara kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu.

“Semoga peringatan Tuanku menjadi muhasabah kepada semua pihak, khususnya dalam menjaga adab berbeza pandangan, memelihara keharmonian dan menunaikan tanggungjawab terhadap keamanan negeri serta negara,” jelas kenyataan itu.

Baca juga:

Terdahulu, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru semua wakil rakyat di Selangor supaya menghayati serta memahami prinsip Rukun Negara dengan hadir ke Dataran Selangor untuk membaca kandungan yang tertera pada Plak Monumen Rukun Negara.

Menerusi satu kenyataan, baginda bertitah perkara itu penting agar setiap pemimpin memahami makna sebenar Rukun Negara yang menjadi teras perpaduan rakyat Malaysia.

Pada masa sama, baginda turut mencadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew supaya datang ke Dataran Selangor setiap minggu bagi lebih menghayati prinsip berkenaan termasuk menghormati kedaulatan Institusi Raja serta menjaga adab kesopanan dan kesusilaan.

The post Junjung titah Sultan, PAS Selangor meninjau plak monumen Rukun Negara appeared first on The Reporter.