Jurang pendapatan, peluang masih wujud di sebalik peningkatan kesejahteraan isi rumah

LocalBusiness & Finance
23 Oct 2026 • 4:08 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jurang pendapatan, peluang masih wujud di sebalik peningkatan kesejahteraan isi rumah

PETALING JAYA – Jurang pendapatan dan peluang ekonomi kekal ketara di Malaysia mengikut lokasi, demografi serta jenis pekerjaan, meskipun kesejahteraan isi rumah secara keseluruhannya semakin baik, menurut laporan terbaharu Khazanah Research Institute (KRI).

Laporan bertajuk From Income to Wellbeing: The State of Households (SOH) 2026 itu mendapati, pemusatan aktiviti ekonomi di kawasan bandar terus mewujudkan perbezaan dari segi pendapatan dan peluang pekerjaan antara wilayah.

KRI menerusi satu kenyataan hari ini berkata, pertubuhan perniagaan sebahagian besarnya tertumpu di Selangor dan Kuala Lumpur, yang turut mencatatkan median upah lebih tinggi berbanding wilayah lain.

“Pada 2024, median upah pekerja di bandar ialah RM2,851 sebulan berbanding RM1,698 di luar bandar, manakala pendapatan median isi rumah luar bandar hanya mencapai 56.4 peratus daripada pendapatan median isi rumah di bandar.

“Pemusatan aktiviti ekonomi turut diperhatikan di peringkat daerah apabila hampir separuh (46.2 peratus) isi rumah di Malaysia menetap di 22 daripada 166 daerah yang mencatatkan pendapatan median isi rumah melebihi median nasional, iaitu RM7,017.

“Sementara itu, sebanyak 111 daerah mencatatkan kadar kemiskinan melebihi kadar nasional, iaitu 5.1 peratus,” katanya.

KRI berkata, perbezaan bukan sahaja berlaku dari segi pendapatan tetapi turut melibatkan akses kepada peluang pekerjaan dan kualiti pekerjaan.

Peluang pekerjaan formal lebih tertumpu di kawasan bandar, manakala pekerjaan tidak formal lebih banyak ditemui di luar bandar, sekali gus mempengaruhi tahap perlindungan dan kestabilan pendapatan yang dinikmati isi rumah.

Dalam perkembangan positif, Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (MyWI) menunjukkan bahawa kesejahteraan ekonomi dan sosial terus meningkat sejak tahun 2000.

Secara umumnya, rakyat Malaysia dikategorikan sebagai ‘bahagia’ dengan Skor Indeks Kebahagiaan Malaysia (MHI) meningkat daripada 6.48 pada tahun 2021 kepada 7.60 pada tahun 2024.

“Secara keseluruhannya, SOH 2026 mendapati bahawa kesejahteraan isi rumah di Malaysia semakin baik di peringkat nasional, namun kemajuan ini tidak dirasai secara sama rata oleh semua isi rumah.

“Perbezaan dari segi demografi, lokasi, akses kepada peluang dan pendedahan kepada risiko mempengaruhi sejauh mana kemajuan ekonomi dapat diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan,” tambah KRI. – KOSMO! ONLINE

The post Jurang pendapatan, peluang masih wujud di sebalik peningkatan kesejahteraan isi rumah appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved