Pendapatan isi rumah luar bandar jauh ketinggalan, hanya 56.4% daripada bandar – Institut Penyelidikan Khazanah

LocalBusiness & Finance
23 Oct 2026 • 4:02 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pendapatan isi rumah luar bandar jauh ketinggalan, hanya 56.4% daripada bandar – Institut Penyelidikan Khazanah Image from: Pendapatan isi rumah luar bandar jauh ketinggalan, hanya 56.4% daripada bandar – Institut Penyelidikan Khazanah liza23/10/2026 - 16:02 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Okt – Jurang pendapatan antara bandar dan luar bandar serta ketidakseimbangan peluang pekerjaan bergaji tinggi terus mempengaruhi taraf hidup rakyat, menurut Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dengan gaji bulanan median di kawasan bandar berjumlah RM2,851 pada 2024, jauh lebih tinggi berbanding RM1,698 di kawasan luar bandar.

 

Pada masa sama, pendapatan bulanan median isi rumah luar bandar hanya bersamaan 56.4% daripada pendapatan isi rumah bandar, menunjukkan perbezaan ketara dari segi kemampuan ekonomi antara kedua-dua kawasan.

 

Dalam laporan ‘From Income to Wellbeing: The State of Households 2026’ yang diterbitkan hari ini, KRI berkata pendapatan bulanan median isi rumah Malaysia meningkat kepada RM7,017 pada 2024, berkembang pada kadar tahunan 5.1% berbanding 2022.

 

Bagaimanapun, peningkatan itu tidak dinikmati secara sama rata di seluruh negara apabila aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan yang menawarkan gaji lebih tinggi masih tertumpu di pusat bandar, khususnya Selangor dan Kuala Lumpur.

 

Keadaan itu mencerminkan bahawa lokasi masih memainkan peranan penting dalam menentukan peluang pendapatan isi rumah, khususnya apabila pekerjaan bergaji lebih tinggi dan aktiviti ekonomi lebih tertumpu di kawasan bandar.

 

111 daerah catat kemiskinan melebihi kadar nasional

Ketidakseimbangan itu turut dapat dilihat menerusi taburan kemiskinan apabila 111 daripada 166 daerah di Malaysia mencatatkan kadar kemiskinan melebihi kadar nasional sebanyak 5.1% pada 2024.

 

Menurut KRI, keadaan itu menunjukkan jurang peluang ekonomi masih berterusan di banyak kawasan, meskipun beberapa petunjuk kesejahteraan isi rumah negara menunjukkan peningkatan.

 

Penyertaan tenaga buruh dan kebahagiaan meningkat

Dari segi pasaran pekerjaan, kadar penyertaan tenaga buruh Malaysia meningkat kepada 70.6% pada 2024 berbanding 69.3% pada 2022 dan 68.7% pada 2019.

 

Indeks Kebahagiaan Malaysia turut meningkat kepada 7.60 pada 2024 berbanding 6.48 pada 2021.

 

Selain itu, Indeks Kesejahteraan Malaysia menunjukkan kesejahteraan ekonomi dan sosial secara keseluruhan bertambah baik sejak 2000.

 

Akses kemudahan asas semakin meluas

Dari segi kemudahan asas, sebanyak 97.8% isi rumah berada dalam lingkungan lima kilometer dari kemudahan kesihatan awam pada 2024.

 

Sementara itu, 98.7% isi rumah berada dalam lingkungan lima kilometer dari sekolah rendah, manakala 95.9% mempunyai akses kepada sekolah menengah dalam jarak yang sama.

 

Hampir semua isi rumah turut mempunyai akses kepada bekalan air terawat, elektrik dan telekomunikasi.

 

Bagaimanapun, KRI mengingatkan bahawa peningkatan pendapatan dan akses kepada infrastruktur sahaja tidak menjamin kesejahteraan yang lebih baik kerana faktor umur, jantina dan keadaan pekerjaan turut mempengaruhi taraf hidup.

 

Wanita, warga emas dan pekerja tidak formal berdepan cabaran

Menurut laporan itu, isi rumah yang mempunyai anggota lebih berusia cenderung mempunyai pendapatan lebih rendah serta menghadapi risiko kesihatan yang lebih tinggi.

 

Wanita pula masih berdepan kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih rendah dan jurang gaji yang berterusan.

 

Dalam kalangan pekerja tidak formal, khususnya di kawasan luar bandar, ketidakpastian pekerjaan serta akses yang lebih terhad kepada perlindungan berkaitan pekerjaan turut menjadi cabaran kepada kesejahteraan isi rumah.

 

Kebergantungan import makanan dedahkan isi rumah kepada kejutan harga

KRI turut memberi amaran bahawa kebergantungan Malaysia kepada sebilangan kecil negara bagi import makanan boleh mendedahkan isi rumah kepada risiko gangguan bekalan dan kejutan harga.

 

Kenaikan harga makanan akan memberi kesan lebih besar kepada isi rumah berpendapatan rendah kerana golongan itu membelanjakan bahagian lebih besar daripada pendapatan mereka untuk makanan.

 

Secara keseluruhan, laporan itu menekankan bahawa peningkatan kesejahteraan isi rumah perlu dinilai bukan sahaja berdasarkan pertumbuhan pendapatan, malah melalui pengagihan peluang ekonomi, keadaan pekerjaan, akses kepada kemudahan asas dan kemampuan isi rumah memenuhi keperluan harian. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved