M40 hilang pekerjaan, pendapatan merosot boleh buat rayuan bantuan setiap hari - MoF

LocalPersonal Finance
19 Oct 2026 • 11:52 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: M40 hilang pekerjaan, pendapatan merosot boleh buat rayuan bantuan setiap hari - MoF
Chin Tong ketika pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Isi rumah dalam kategori M40 yang kehilangan pekerjaan atau mengalami kemerosotan pendapatan boleh membuat rayuan bagi mendapatkan bantuan bersasar sekiranya berlaku perubahan pada kedudukan kewangan semasa.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, langkah itu dibuat bagi membolehkan penerima bantuan mengemukakan permohonan semula sekiranya status kewangan berubah akibat kehilangan pekerjaan dan sebagainya.

Menurutnya, langkah berkenaan membolehkan penilaian dibuat berdasarkan keadaan semasa pemohon dan tidak hanya bergantung kepada rekod pendapatan terdahulu.

"Rayuan dibuka setiap hari. Penerima bantuan boleh membuat rayuan kalau status sedia ada telah berubah.

"Mereka boleh buat rayuan setiap hari," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (UMNO-Kuala Pilah) mengenai mekanisme dilaksanakan kementerian bagi memastikan isi rumah kumpulan itu yang kehilangan pekerjaan atau mengalami kemerosotan pendapatan tidak tercicir daripada menerima bantuan bersasar.

Statistik Tenaga Buruh bagi Julai 2026 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) September lalu merekodkan kadar pengangguran pada Julai 2026 kekal 3.0 peratus seperti bulan sebelumnya dan mencatatkan sebanyak 520,300 penganggur.

Menurut statistik itu bilangan tenaga buruh meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 17.37 juta orang berbanding 17.34 juta orang pada Jun, manakala kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.9 peratus.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved