Juruaudit persoal keupayaan Avillion terus beroperasi susulan tekanan kewangan

Business & FinanceProperty
3 Aug 2026 • 4:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Juruaudit persoal keupayaan Avillion terus beroperasi susulan tekanan kewangan Image from: Juruaudit persoal keupayaan Avillion terus beroperasi susulan tekanan kewangan liza03/08/2026 - 16:08 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Avillion Bhd berdepan cabaran besar untuk memulihkan prestasi kewangannya selepas juruaudit luar membangkitkan keraguan terhadap keupayaan kumpulan itu untuk terus beroperasi berikutan kedudukan kewangan yang semakin tertekan.

 

Dalam laporan audit yang difailkan kepada Bursa Malaysia, Baker Tilly Monterio Heng PLT menyatakan terdapat ketidakpastian material yang boleh menimbulkan keraguan ketara terhadap keupayaan Avillion serta syarikat induknya meneruskan operasi.

 

Penilaian itu dibuat selepas kumpulan merekodkan kerugian bersih RM14.88 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY2026), manakala syarikat induk turut mengalami kerugian RM3.37 juta.

 

Lebih membimbangkan, kumpulan mencatatkan kedudukan tunai dan setara tunai negatif sebanyak RM13.23 juta, sementara syarikat induk merekodkan negatif RM4.91 juta.

 

Pada masa sama, liabiliti semasa syarikat melebihi aset semasa sebanyak RM51.08 juta.

 

Gabungan faktor tersebut menunjukkan Avillion berdepan tekanan kewangan yang memerlukan tindakan pemulihan segera bagi memastikan operasi perniagaannya dapat diteruskan dalam tempoh akan datang.

 

Hartanah Dan Tanah Jadi Tumpuan Audit

Selain kedudukan kewangan, juruaudit turut memberi perhatian terhadap nilai hartanah serta tanah yang dipegang untuk pembangunan kerana kedua-dua aset itu melibatkan anggaran nilai yang signifikan.

 

Menurut Baker Tilly, unit hartanah yang telah siap dibina serta tanah yang dimiliki untuk pembangunan menjadi antara tumpuan audit kerana terdapat ketidakpastian dalam menentukan nilai sebenar yang boleh diperoleh apabila aset tersebut dijual.

 

Bagi mengurangkan tekanan kewangan, Avillion berkata pihaknya sedang melaksanakan beberapa inisiatif termasuk memperkenalkan pakej hotel baharu bagi meningkatkan kadar penghunian dan hasil operasi.

 

Selain itu, syarikat turut merancang menjual tanah yang kurang atau tidak menjana pulangan, mempercepatkan jualan unit hartanah yang sudah siap serta projek pembangunan semasa, selain mengekalkan kemudahan pembiayaan bank.

 

Pada masa sama, syarikat akan meneruskan penjualan tanah yang diklasifikasikan sebagai inventori dan melaksanakan penstrukturan semula serta usaha mendapatkan dana baharu bagi mengukuhkan aliran tunainya.

 

Kerugian Berlarutan Sejak FY2016

Menurut Avillion, langkah-langkah tersebut dijangka membantu menyelesaikan isu yang dibangkitkan juruaudit dalam tahun kewangan akan datang.

 

Syarikat yang menjalankan perniagaan pengurusan hotel dan resort, pembangunan hartanah serta perkhidmatan pelancongan itu dilaporkan terus mencatatkan kerugian sejak FY2016.

 

Bagi FY2026, kerugian bersih meningkat kepada RM13.78 juta berbanding RM6.7 juta setahun sebelumnya apabila hasil susut 5.6% kepada RM55.18 juta akibat sumbangan yang lebih rendah daripada segmen hotel dan pelancongan.

 

Prestasi itu turut dipengaruhi caj rosot nilai (impairment) sekali sahaja sebanyak RM4.9 juta yang tidak melibatkan aliran tunai, susulan kerosakan struktur pontun akibat Taufan Senyar di salah satu marina miliknya.

 

Sehingga 31 Mac 2026, Avillion mempunyai jumlah pinjaman sebanyak RM67.42 juta. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved