
KOTA BHARU - Seorang jururawat berusia 44 tahun cedera parah selepas dipercayai ditikam enam kali oleh suaminya di rumah mereka di Kampung Padang Lepai, dekat Kadok, di sini, malam Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, mangsa mengalami beberapa kecederaan tikaman pada badan dan leher.
Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri, mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya menerima laporan berhubung insiden berkenaan pada malam sama.
Menurutnya, suspek berusia 47 tahun ditahan selepas menyerah diri kepada polis susulan kejadian tersebut.
“Polis masih belum mengenal pasti motif kejadian. Suspek direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan,” katanya kepada Berita Harian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.
Polis turut merampas sebilah pisau daripada suspek bagi membantu siasatan. - Getaran, 7 Oktober 2026






