Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Seorang jururawat berdepan detik cemas selepas ditikam sebanyak enam kali oleh suaminya sendiri dalam satu kejadian di kediaman mereka di Kampung Padang Lepai, Kadok, Kota Bharu, Kelantan semalam.
Akibat kejadian itu, mangsa yang berusia 44 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian badan serta leher dan kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Artikel berkaitan: 5 Individu Termasuk Jururawat Direman Jual MC, Berdepan Hukuman Penjara
Artikel berkaitan: “Wira tak didendang” – Jururawat ‘Off-Duty’ Jadi Penyelamat Wanita Tercekik Makanan
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, insiden dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 malam sebelum pihak polis menerima laporan berhubung kes berkenaan pada malam yang sama.
Menurut beliau, suspek berusia 47 tahun yang merupakan suami mangsa telah ditahan selepas bertindak menyerahkan diri di balai polis.
“Suspek direman selama tujuh hari bermula Selasa bagi membantu siasatan. Polis masih belum mengenal pasti motif kejadian,” katanya menerusi Sinar Harian.
Beliau menambah, pihak polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam kejadian berkenaan.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.
Sumber: Sinar Harian
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






