
AMPANG JAYA – Seorang lelaki warga Indonesia lditemukan meninggal dunia dalam keadaan tergantung di bahagian dapur sebuah rumah di Kampung Melayu Ampang di sini, malam semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira pukul 7.11 malam.
“Pusat Kawalan Daerah Ampang Jaya menerima maklumat berkaitan satu kejadian kematian melibatkan seorang lelaki warga Indonesia di sebuah rumah di Lorong Pinang 2, Kampung Melayu Ampang.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang berusia lingkungan 30-an ditemukan dalam keadaan tergantung di bahagian dapur rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Khairul Anuar, hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan tinggal bersama ibunya dengan menyewa sebuah bilik di rumah terbabit.
Katanya, mangsa merupakan warga Indonesia yang dilahirkan di Malaysia dan mempunyai status Pemastautin Tetap (PR).
“Si mati memiliki kad pengenalan berwarna merah serta sijil kelahiran Malaysia.
“Semakan lanjut turut mendapati ibu kepada si mati juga berstatus PR dan memiliki kad pengenalan berwarna merah,” katanya.
Tambahnya, polis turut mengambil keterangan beberapa individu seperti jiran yang menghubungi pihak polis, ibu kepada si mati serta tuan rumah.
“Punca kematian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menunggu hasil siasatan serta laporan bedah siasat,” katanya.
Sebelum ini, kejadian berkenaan turut tular di aplikasi Threads selepas perkongsian mengenainya dimuat naik oleh penduduk setempat.
Ditahamkan mangsa yang belum berkahwin menetap bersama ibunya yang pada ketika itu pergi keluar bekerja.-KOSMO! ONLINE
The post Lelaki Indonesia ditemukan maut di dapur rumah appeared first on Kosmo Online.






