SEPANG – Tiada objek mencurigakan dikesan pada bagasi seorang juruterbang Malaysia yang didakwa menyeludup dadah ke Indonesia selepas pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek telah melalui semua proses saringan keselamatan yang ditetapkan sebelum dibenarkan menaiki pesawat ke Indonesia pada 28 Julai lalu.
"Hasil pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas tidak mengesan sebarang imej mencurigakan pada bagasi yang dibawa suspek, sekali gus membolehkannya melepasi saringan biasa di KLIA.
"Berdasarkan prosedur sedia ada, bagasi tersebut tidak mencetuskan tahap risiko yang memerlukan pemeriksaan lanjut atau pemeriksaan sekunder oleh petugas," katanya dalam sidang akhbar di KLIA di sini pada Isnin.
Pada Jumaat, media melaporkan seorang juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas didakwa cuba menyeludup 25 kilogram dadah.
Menurut Polis Republik Indonesia (POLRI), pemeriksaan menemui 15 bungkusan mengandungi 70,114 kapsul ekstasi dan methamphetamine yang dianggarkan bernilai kira-kira RM45 juta mengikut harga pasaran Indonesia.
Suspek dipercayai menerima upah RM50,000 bagi membawa dadah berkenaan dari Kuala Lumpur ke Jakarta sebelum ia diambil individu lain di hotel penginapannya.
Polis Indonesia turut memaklumkan suspek mengaku pernah melakukan penghantaran dadah ke Jakarta dan Sabah sebelum ini, manakala siasatan sedang dijalankan bagi mengesan rangkaian sindiket di Malaysia dan Indonesia.
Ketika ditanya sama ada bekalan dadah yang ditemui dan dirampas oleh Bahagian Cukai dan Kastam Indonesia diterima dan dibawa oleh juruterbang sama selepas pemeriksaan mesin pengimbas, Mohd Shuhaily menyerahkan perkara itu kepada siasatan pihak Polis Diraja Malaysia.
"Saya tidak dapat mengulas perkara ini namun akan diperoleh berdasarkan siasatan dan maklumat yang diterima oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

![[VIDEO] Kastam Indonesia siar rakaman juruterbang MAS ‘kantoi’ seludup 26kg dadah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-03-at-20.09.09-1024x689.jpeg)




