Juruteknik Didakwa Bunuh Amirul Hafiz

LocalPolitics
1 Apr 2026 • 11:42 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Pemandu yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat di Klang, Ahad lalu didakwa atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Klang hari ini. 

R Saktygaanapathy, 28, seorang juruteknik, juga didakwa di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengambil dadah terlarang.

Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan membunuh dibacakan di hadapan Majistret A Karthiyayini.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, yang memakai kemeja-T berkolar putih dan seluar pendek, kerana pertuduhan membunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa membunuh Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat, pada jam 11.47 pagi, 29 Mac lalu. 

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 dan 40 tahun, dan jika tidak dijatuhkan hukuman gantung, perlu disebat tidak kurang daripada 12 kali.

Di mahkamah yang sama, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah yang disyaki benzo dan Tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang di sini pada jam 3.30 petang pada tarikh yang sama.

Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Raja Zaizul tidak menawarkan sebarang jaminan dan meminta tarikh baharu untuk penyerahan dokumen untuk laporan bedah siasat, patologi dan forensik.

Prosiding berkenaan turut dihadiri isteri Allahyarham Amirul, Nurul Nadia Abdul Majid, 32, yang mengikuti prosiding dan mendengar jurubahasa membacakan pertuduhan.

Kes akan disebut semula pada 3 Jun nanti. – Getaran, 1 April 2026