Juruteknik lemas terjatuh dalam tangki

10 Aug 2026 • 10:33 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Lemas dalam tangki

KUALA LANGAT: Seorang juruteknik warga tempatan menemui ajal apabila ditemukan lemas akibat terjatuh ke dalam tangki air sedalam 5 meter dekat sebuah stesen janakuasa di sini, pada awal pagi tadi.

Mangsa, Allahyarham Mohd. Farhan Syazwan, 34, dipercayai terjatuh ke dalam tangki berkenaan ketika sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dekat bahagian menara penyejuk stesen tersebut.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, mangsa didapati hilang oleh rakannya yang keluar untuk mengambil kayu.

“Kemudian, selang 15 minit apabila rakan mangsa tiba semula di lokasi, mangsa didapati hilang. Pada awalnya rakannya itu percaya yang mangsa mungkin ke tandas sebelum mengesyaki mangsa berkemungkinan terjatuh.

“(Bagaimanapun) Kemudian, rakan mangsa memaklumkan kepada penyelia sebelum roll-call (dibuat) dan mendapati mangsa hilang. Mangsa (merupakan seorang) pekerja kontrak,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Jelasnya, pasukan bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.50 malam tadi sebelum sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting yang dibantu oleh BBP KLIA dan Pelabuhan Klang digerakkan ke tempat kejadian.

“Kemudian pada pukul 9 malam, sepasukan Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) digerakkan ke lokasi bagi membantu mencari dan menyelamat mangsa. Pada pukul 1.35 pagi, kolam pertama berjaya dikosongkan dan mangsa masih tidak ditemui sebelum kolam kedua pula dikosongkan.

“Pada pukul 4 pagi, mayat mangsa ditemukan dalam kolam kedua yang berkedalaman 10 meter selepas air disedut keluar. Mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.

Ashrul Riezal menambah, ketika kejadian, mangsa sedang membuat kerja-kerja teknikal dan pemasangan di lokasi kejadian.

“Rakan sekerja menyedari mangsa hilang daripada pandangan mereka dan terus membuat panggilan ke BBP Banting,” katanya. – UTUSAN

The post Juruteknik lemas terjatuh dalam tangki appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved