Disangka ke tandas, rupanya lemas dalam kolam penyejuk

10 Aug 2026 • 7:57 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Disangka ke tandas, rupanya lemas dalam kolam penyejuk

KUALA LANGAT – Seorang pekerja kontrak teknikal ditemukan lemas dipercayai terjatuh ke dalam tangki kolam menara penyejuk selepas hampir sembilan jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Loji Janakuasa Kuala Langat, awal pagi tadi.

Mangsa lelaki tempatan berusia 34 tahun itu ditemukan kira-kira pukul 4 pagi selepas dilaporkan hilang pada pukul 7.26 malam ketika sedang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di menara penyejuk berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, berdasarkan maklumat mangsa ketika itu bersama seorang rakan sedang melakukan kerja menggantikan kayu di menara penyejuk sebelum rakannya keluar mengambil kayu.

Katanya, kira-kira 15 minit kemudian, rakannya kembali ke lokasi, tetapi mendapati mangsa sudah tiada.

“Pada awalnya, rakan mangsa menyangka dia pergi ke bilik air, namun mula mengesyaki mangsa mungkin terjatuh selepas tidak muncul.

“Rakan mangsa kemudian memaklumkan kejadian kepada penyelia sebelum menghubungi bomba,” katanya hari ini.

Beliau berkata, seramai 12 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting serta Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP KLIA digerakkan dalam operasi SAR.

Ujarnya, pengosongan tangki kolam pertama dilakukan, namun mangsa gagal dijumpai.

“Pencarian kemudian diteruskan dengan menyedut keluar air bagi pengosongan tangki kolam kedua yang sedalam 10 meter sebelum mangsa berjaya ditemukan,” katanya.

Menurutnya, anggota bomba kemudiannya turun ke dalam tangki berkenaan bagi membawa naik mangsa sebelum dia disahkan meninggal dunia.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE

The post Disangka ke tandas, rupanya lemas dalam kolam penyejuk appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved