Juruterbang disyaki bawa dadah ke beberapa negara sejak 2024

17 Aug 2026 • 6:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Juruterbang disyaki bawa dadah ke beberapa negara sejak 2024

PETALING JAYA: Juruterbang Malaysia Airlines yang ditahan di Indonesia bulan lalu, disyaki telah beberapa kali membawa bahan terlarang itu ke beberapa negara sejak 2024.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek dipercayai berperanan membawa dadah keluar dari Malaysia ke beberapa destinasi berdasarkan jadual penerbangannya.

Beliau berkata, perkara itu didedahkan sendiri oleh suspek ketika sesi soal siasat dilakukan oleh pasukan JSJN di Jakarta.

“Dia terbabit sejak 2024 dengan peranannya membawa dadah keluar dari negara ke beberapa destinasi mengikut jadual penerbangannya.

“Ini bukan kali pertama kerana dia sudah beberapa kali membawa dadah ke beberapa negara,” katanya,

Media sebelum ini melaporkan pasukan JSJN bertemu dan menyoal siasat juruterbang berkenaan di Jakarta dalam sesi yang pada asalnya dijadualkan pada Rabu dan Khamis sebelum dilanjutkan sehari hingga Jumaat dengan kebenaran Polis Republik Indonesia.

Menurut Hussein, juruterbang berkenaan turut mendedahkan maklumat berkaitan beberapa sindiket dadah di Malaysia dan negara lain termasuk Indonesia.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan lanjut terhadap anggota sindiket yang dikenal pasti termasuk aliran kewangan berkaitan penjualan dadah.

Maklumat mengenai rangkaian sindiket antarabangsa itu juga akan disalurkan kepada agensi penguatkuasaan dadah di negara terbabit.

Suspek berusia 39 tahun itu ditahan di Terminal 3 Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten, pada 29 Julai lalu selepas tiba dari Kuala Lumpur menaiki penerbangan MH727.

Lelaki itu ditahan kira-kira pukul 11.30 malam selepas pegawai kastam Indonesia mengesan bagasi milik suspek mencurigakan menerusi imbasan sinar-X sebelum mengarahkannya ke bilik pemeriksaan selepas bagasi dituntut.

Pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat kira-kira 25 kilogram dalam bagasi berkenaan, selain empat gram syabu dalam barang bawaannya.

Hussein dalam pada itu enggan mengulas kemungkinan suspek akan diekstradisi ke negara ini.

Menurut polis Indonesia, juruterbang berkenaan didakwa dijanjikan bayaran RM50,000 untuk membawa dadah itu ke Jakarta sebelum ia diambil individu lain dari sebuah hotel. – UTUSAN

The post Juruterbang disyaki bawa dadah ke beberapa negara sejak 2024 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved