KOTA BHARU - Kes seorang pembantu juruterbang yang ditahan di Jakarta disyaki mempunyai kaitan dengan penghantaran dadah ke Australia dan Indonesia.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, kes membabitkan seorang pembantu juruterbang yang ditahan di Jakarta setakat ini dikenal pasti mempunyai kaitan dengan penghantaran dadah ke Australia dan Indonesia, bukan ke Eropah.
"Bukan semua juruterbang yang terlibat. Hanya satu dua, setakat yang kita tahu, pembantu juruterbang yang terlibat itu ditangkap di Jakarta.
"Dia setakat yang kita tahu ke Australia dan juga Indonesia. Eropah tidak.
"Eropah kebanyakannya melibatkan bunga ganja dalam kalangan orang awam," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Sebelum itu beliau mengadakan Lawatan Strategik ke PUSPEN Bachok di sini yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh.
**media[3642978]**
Menurut beliau, kebanyakan dadah yang dihantar ke Eropah adalah bunga ganja yang mempunyai pasaran tinggi di rantau berkenaan.
Katanya, modus operandi sindiket turut menyaksikan orang awam ditawarkan wang dalam jumlah besar atau pakej percutian bagi membawa bagasi tanpa menyedari mereka terperangkap dalam kegiatan penyeludupan dadah.
Hussein memberitahu, orang ramai perlu berhati-hati dengan tawaran lumayan daripada pihak tidak dikenali kerana sindiket menggunakan pelbagai helah.
"Bukan mudah orang nak tawarkan amaun yang besar ataupun pakej percutian dan sebagainya. Jangan terperangkap dalam sindiket ini," katanya.






