
BACHOK – Penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) yang mempunyai pengalaman luas dalam dunia dadah, boleh menjadi sumber maklumat kepada polis dalam usaha membanteras sindiket pengedaran dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya boleh memanfaatkan maklumat yang dimiliki penghuni terbabit, termasuk mereka yang dianggap ‘otai’, bagi membantu polis mengatur langkah membanteras sindiket berkaitan dadah.
“Tadi saya lihat ada yang dianggap ‘otai’ di sini, yang saya nampak banyak maklumat yang ada pada dia, yang mana PDRM boleh ‘tap’. Klien-klien seperti ini bukan sahaja di Puspen sini, tetapi juga di Puspen-Puspen lain, untuk kita mengatur langkah dari segi membanteras sindiket yang berkaitan dengan dadah,” katanya berucap pada program lawatan strategik ke Puspen Bachok, di sini hari ini.
Hussein berkata, perkongsian maklumat antara PDRM dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) perlu diperkukuh, bagi memastikan usaha menangani masalah dadah dilaksanakan secara lebih berkesan.
Beliau berkata, PDRM berperanan dalam aspek pengurangan bekalan, manakala AADK memberi tumpuan kepada pengurangan permintaan, justeru kedua-dua agensi perlu bergerak dalam satu hala tuju.
“Dua agensi ini mesti bercakap dalam bahasa, laras yang sama. Mesti berintegrasi dan juga bertindak dalam satu arah, supaya impak yang maksimum dapat dijalankan,” katanya.
Hussein berkata, usaha menangani masalah dadah tidak berakhir selepas seseorang penagih atau pesalah ditangkap, sebaliknya perlu disusuli dengan aspek pencegahan, rawatan dan pemulihan.
Beliau berkata, pendekatan penguatkuasaan semata-mata, tidak dapat menyelesaikan keseluruhan permasalahan dadah yang kompleks.
Tambahnya, program pemulihan termasuk latihan kemahiran di Puspen penting, bagi membantu penghuni membuat persediaan untuk kembali menjalani kehidupan bersama keluarga dan masyarakat. – BERNAMA
The post Penghuni Puspen boleh jadi sumber maklumat banteras sindiket dadah appeared first on Kosmo Online.






