
KOTA BHARU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) tidak mahu bertindak terburu-buru dalam operasi membanteras dadah kerana risikan terlebih dahulu penting bagi memastikan keseluruhan sindiket dapat dilumpuhkan termasuk makmal dadah.
Pengarahnya Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan terlalu awal hanya mungkin membolehkan pihaknya menahan seorang atau dua anggota sindiket termasuk ‘pengangkut’, sedangkan kedudukan sebenar makmal dadah haram gagal dibongkar.
“Jadi, kadang-kadang tindakan itu boleh dikatakan lambat, tetapi inilah prosesnya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Strategik ke Puspen Bachok di sini yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas beberapa tangkapan dadah mengambil masa hampir setahun sebelum dapat dilakukan.
Hussein memberitahu tempoh sesuatu risikan bergantung kepada keadaan kerana ada kes yang dapat dibongkar dengan dalam tempoh yang singkat.
“Kadang-kadang ada yang cepat, ada yang terbongkar. Maksudnya, kalau kita buat serbuan, tiba-tiba jumpa satu lagi. Inilah senario yang berlaku dalam realiti,” ujarnya.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, sindiket dadah berskala besar terbongkar selepas polis merampas 13.17 tan metrik dadah sintetik bernilai RM2.41 bilion dalam serbuan sebuah kilang yang dijadikan makmal dadah di Bandar Puncak Alam bulan lalu.
Rampasan membabitkan pelbagai jenis dadah termasuk ekstasi, pil yaba, metamfetamin, ketamin, ganja dan pil Erimin 5, selain mesin serta peralatan memproses dadah hasil risikan selama enam bulan.
Dalam perkembangan lain, Hussein Omar mengakui individu atau klien yang sedang menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) banyak berkongsi maklumat dalam polis memburu serta ahli sindiket dadah.
Katanya, maklumat itu diperoleh melalui pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) atau pegawai polis yang memasuki PUSPEN dan berinteraksi dengan klien berkenaan.
“Saya tak dapat dalam bentuk peratus ke berapa banyak, tapi ada maklumat-maklumat ini yang membantu kita dalam tindakan pihak polis dalam serbuan dan juga tangkapan.
“Ia bukan perkara baharu, malah sudah lama membantu pihak berkuasa dalam tindakan membanteras kegiatan dadah,” katanya.-UTUSAN
The post Risik dahulu, baru lumpuh sindiket dadah-JSJN appeared first on Utusan Malaysia.






