Juruterbang ditahan di Jakarta: Dadah dipercayai dibawa dari KL sebelum transit di Kota Kinabalu

4 Aug 2026 • 12:53 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Juruterbang ditahan di Jakarta: Dadah dipercayai dibawa dari KL sebelum transit di Kota Kinabalu
Hussein (empat dari kiri) dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Selasa.

SHAH ALAM - Dadah yang dirampas daripada seorang juruterbang warga Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia dipercayai dibawa dari ibu negara sebelum suspek berlepas ke Kota Kinabalu, Sabah dan seterusnya ke Jakarta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengambil bekalan dadah itu dari Selangor sebelum membuat daftar masuk bagasi lebih awal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Suspek dipercayai mengambil dadah itu dari sebuah apartmen di Ampang sebelum melakukan early check-in bagasi di KLIA dan menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu pada sebelah pagi.

"Laluan perjalanannya ialah dari KLIA ke Kota Kinabalu, kemudian kembali ke KLIA sebelum berlepas ke Jakarta pada malam yang sama, kita juga telah memperoleh kesan nombor telefon yang dihubungi suspek," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Selasa.

Menurut Hussein, PDRM kini memberi tumpuan kepada tiga aspek utama siasatan iaitu mengenal pasti sumber bekalan dadah di negara ini, meneliti bagaimana suspek boleh melepasi saringan keselamatan di KLIA serta mengesan rangkaian sindiket antarabangsa yang dipercayai terlibat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang juruterbang warga tempatan bersama seorang kru kabin ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki membawa beberapa jenis dadah sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.

Media Indonesia melaporkan pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas sinar-X ke atas bagasi milik juruterbang berusia 39 tahun itu menemukan 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi seberat 25.19 kilogram, selain satu bungkusan syabu seberat 2.75 gram dan sisa syabu seberat 0.08 gram dalam paip kaca.

Dalam perkembangan sama, Hussein berkata, pihaknya turut meneliti kaedah yang digunakan POLRI untuk mengesan kegiatan penyeludupan itu.

"Kita masih mendapatkan maklumat bagaimana mereka berjaya mengesan kegiatan tersebut.

"Adakah mereka menggunakan sistem saringan, pemeriksaan fizikal, kombinasi kedua-duanya atau hasil risikan yang membawa kepada pemeriksaan secara rawak, semua itu sedang kita teliti," katanya.

Beliau berkata, hasil perbincangan bersama Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Isnin turut memutuskan prosedur pemeriksaan di KLIA perlu diperkukuhkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

"Semua pihak bersetuju terdapat keperluan untuk mengetatkan lagi atau menambah baik prosedur pemeriksaan di KLIA," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved