Juruterbang Malaysia Ditahan Di Jakarta Bersama Dadah Selepas Penerbangan Dari Kuala Lumpur

31 Jul 2026 • 4:14 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Juruterbang Malaysia Ditahan Di Jakarta Bersama Dadah Selepas Penerbangan Dari Kuala Lumpur

Juruterbang Malaysia Ditahan Di Jakarta Bersama Dadah Selepas Penerbangan Dari Kuala Lumpur

JAKARTA, 31 Julai (Bernama) -- Seorang juruterbang warga Malaysia ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup dadah, termasuk 25 kilogram ekstasi bernilai kira-kira Rp60 bilion (Rp1 juta = RM225.20), ke negara itu, menurut pihak berkuasa pada Jumaat.

Ketua Pengarah Kastam dan Eksais Indonesia Djaka Budi Utama berkata suspek berusia 39 tahun itu ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, pada 29 Julai selepas menerbangkan pesawat penumpang antarabangsa dari Kuala Lumpur, dengan dadah berkenaan didakwa ditemukan disembunyikan di dalam bagasinya.

"Kastam dan Eksais di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta berjaya mematahkan cubaan menyeludup MDMA atau ekstasi yang terdiri daripada 14 bungkusan.

"Rampasan itu membabitkan kira-kira 70,114 pil ekstasi dengan berat bersih sekitar 25.15 kilogram, selain empat gram kasar metamfetamin atau syabu," katanya pada sidang media bersama Badan Siasatan Jenayah (Bareskrim) Polis Negara Indonesia di sini pada Jumaat.

Image from: Juruterbang Malaysia Ditahan Di Jakarta Bersama Dadah Selepas Penerbangan Dari Kuala Lumpur
Kredit: Bernama

Ketua Subdirektorat II Direktorat Narkotik Bareskrim Awaludin Amin berkata ujian makmal mendapati air kencing suspek positif MDMA, metamfetamin dan kokain, manakala siasatan awal menunjukkan dia mungkin pernah menyeludup dadah ke Indonesia sebelum ini.

Baca juga:

Beliau berkata berdasarkan soal siasat awal, suspek mengaku membawa dadah terlarang ke Indonesia sebanyak tiga kali, iaitu dua kali melalui Jakarta dan sekali melalui wilayah lain.

"Kami mengesyaki dia sebahagian daripada rangkaian antarabangsa, namun kami memerlukan masa untuk menjalankan siasatan lanjut dan membongkar sindiket yang lebih besar," katanya sambil menambah bahawa pihak penyiasat sedang mengesan anggota lain dalam rangkaian itu serta mengenal pasti penerima dadah berkenaan di Indonesia.

Ketua Kastam dan Eksais Soekarno-Hatta Hengki berkata kes itu amat membimbangkan kerana suspek baru sahaja menerbangkan pesawat penumpang antarabangsa sebelum ditahan, dengan pesawat berkenaan membawa kira-kira 170 penumpang.

Beliau berkata kru penerbangan lazimnya diklasifikasikan di peringkat antarabangsa sebagai pengembara berisiko rendah dan menggunakan laluan pemeriksaan khas di lapangan terbang, namun menegaskan bahawa pihak kastam mengenakan standard pemeriksaan yang sama terhadap kru dan penumpang.

Beliau berkata pihak berkuasa Indonesia telah memulakan penyelarasan dengan rakan sejawat di Malaysia susulan penahanan itu.

Image from: Juruterbang Malaysia Ditahan Di Jakarta Bersama Dadah Selepas Penerbangan Dari Kuala Lumpur
Kredit: Bernama

Tambahnya, Direktorat Jeneral Penerbangan Awam akan terus berhubung dengan pihak berkuasa penerbangan Malaysia, manakala Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah pun menjalin komunikasi dengan rakan sejawat masing-masing di Indonesia.

Hengki berkata siasatan masih diteruskan bagi menentukan sejauh mana peranan suspek dalam sindiket pengedaran dadah itu serta sama ada terdapat operasi penyeludupan rentas sempadan lain yang terlibat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved