Juruterbang mengaku tiga kali seludup dadah, terima RM50,000 setiap penghantaran

31 Jul 2026 • 3:23 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Juruterbang mengaku tiga kali seludup dadah, terima RM50,000 setiap penghantaran

SHAH ALAM, 31 JULAI: Seorang juruterbang sebuah syarikat penerbangan yang ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup 25 kilogram (kg) dadah didakwa mengaku sudah tiga kali melakukan kegiatan itu, termasuk membawa bekalan ke Sabah dan Jakarta.

Pengarah Pencegahan Jenayah Narkotik Polis Republik Indonesia (POLRI) Brigedier Jeneral Eko Hadi Sontoso berkata suspek berusia 39 tahun itu ditahan di pintu masuk Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada Selasa lalu.

Beliau berkata pemeriksaan Bahagian Kastam dan Cukai menemui 15 bungkusan besar mengandungi 70,114 pil ekstasi dan methamphetamine selepas mengesan objek mencurigakan menerusi mesin pengimbas bagasi milik suspek.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menerima bayaran kira-kira RM50,000 bagi membawa dadah itu dari Kuala Lumpur ke Jakarta.

"Bekalan dadah berkenaan dikirimkan oleh seseorang individu di Malaysia sebelum diambil oleh seorang lagi individu lain di hotel penginapan suspek di Jakarta," katanya seperti dipetik portal Kompas.com.

Eko Hadi berkata pihaknya sedang mengesan individu yang dipercayai terlibat dalam rangkaian penyeludupan itu di Malaysia dan Indonesia berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada suspek.

Beliau berkata siasatan juga tidak menolak kemungkinan sindiket berkenaan mempunyai rangkaian antarabangsa.

"Siasatan juga mendapati suspek, yang didapati positif dadah, mengakui ini kali ketiga dia membawa bekalan dadah.

"Kali pertama, suspek menyeludup dadah ke Sabah dan kali kedua dia dilaporkan membawa tujuh kilogram methamphetamine ke Jakarta," katanya.

Suspek yang kini ditahan di Pusat Tahanan POLRI berdepan tindakan mengikut undang-undang Indonesia atas kesalahan membawa, mengimport, menjadi orang tengah atau berpakat mengedar dadah dalam jumlah besar.

Sementara itu, Malaysia Airlines enggan mengulas mengenai penahanan seorang juruterbangnya oleh pihak berkuasa Indonesia kerana disyaki terlibat dalam kes berkaitan dadah, namun menegaskan syarikat penerbangan itu memandang serius dakwaan sedemikian.

Syarikat penerbangan nasional itu memaklumkan Malaysia Airlines akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan mengikut semua undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved