
PETALING JAYA: Malaysia tidak akan memohon ekstradisi terhadap pembantu juruterbang yang ditahan di Indonesia, sebaliknya suspek akan melalui proses perundangan di negara itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya akan terus mendapatkan perkembangan daripada Polis Negara Indonesia (POLRI) berhubung kes itu.
“Tiada permohonan ekstradisi dibuat. Kami akan terus menerima perkembangan daripada POLRI. Dia perlu melalui proses undang-undang di sana terlebih dahulu,” katanya hari ini.
Pada 29 Julai lalu, suspek ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas didakwa cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah.
Hussein berkata, sepasukan pegawai penyiasat dan risikan JSJN akan berlepas ke Jakarta, Indonesia pada 11 hingga 15 Ogos ini bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai penahanan tersebut.
Jelasnya, pasukan itu akan memberi tumpuan kepada usaha mengenal pasti sumber bekalan dadah, kaedah penyeludupan yang digunakan dan hubungan suspek dengan sindiket yang dipercayai beroperasi di Indonesia.
“Kami akan meneliti keseluruhan rangkaian pengedaran dadah termasuk dari mana bekalan itu diperoleh, sindiket yang terlibat.
“Selain bagaimana suspek berjaya melepasi pemeriksaan keselamatan di KLIA dan apakah kaitannya dengan sindiket di Indonesia,” katanya.
Beliau berkata, lawatan itu juga bertujuan melengkapkan siasatan terhadap keseluruhan rantaian bekalan dadah, selain menentukan sama ada terdapat individu lain yang turut terlibat dalam kegiatan berkenaan.-UTUSAN
The post Juruterbang seludup dadah tidak akan diekstradisi ke Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.






