
PETALING JAYA – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman akan menghantar sepasukan pegawai ke Jakarta, Indonesia minggu depan berhubung kes tangkapan juruterbang Malaysia yang dipercayai menyeludup dadah ke negara itu baru-baru ini.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penghantaran pegawai bermula 11 hingga 15 Ogos ini bertujuan untuk mengumpul maklumat bersama pihak berkuasa negara berkenaan.
“Kita akan melihat keseluruhan rangkaian pengedaran dadah termasuk dari mana bekalan diperoleh, sindiket yang terlibat, bagaimana suspek melepasi pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan hubungan dengan sindiket di Indonesia,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Hussein, penghantaran pegawai juga bertujuan untuk melengkapkan siasatan terhadap keseluruhan rantaian bekalan dadah selain mengenal pasti sama ada terdapat individu lain yang turut bersekongkol dalam kegiatan sama.
Mengulas mengenai juruterbang berusia 39 tahun itu, beliau mengesahkan Bukit Aman tidak akan mengemukakan permohonan ekstradisi kerana suspek perlu berdepan proses perundangan di Indonesia terlebih dahulu.
“Kita akan terus menerima maklumat kemas kini daripada Polis Negara Republik Indonesia (Polri), namun suspek wajib menjalani proses perundangan di sana,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan suspek ditahan pihak berkuasa Indonesia di Terminal 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas dipercayai cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah ke negara berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Hussein berkata, polis telah merekodkan keterangan daripada dua anggota Keselamatan Penerbangan (Avsec) KLIA bagi membantu siasatan.
Bagaimanapun, tiada sebarang penahanan dibuat setakat ini dan hasil siasatan awal mendapati kedua-dua anggota terbabit tidak mempunyai hubungan langsung dengan suspek.
Pada masa sama, polis turut meneliti kemungkinan wujud kaitan antara kes juruterbang berkenaan dengan penahanan seorang lagi lelaki warga tempatan berusia 22 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya.
Hussein berkata, bagi kes di Surabaya, pihaknya berdepan kesukaran memandangkan sindiket dipercayai mendaftarkan nombor telefon menggunakan identiti pihak ketiga serta menggunakannya menerusi platform media sosial bagi membolehkan mereka mengelak daripada dikesan pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE
The post Pilot dadah: Tiada ekstradisi, pasukan JSJN Bukit Aman dihantar ke Jakarta appeared first on Kosmo Digital.





