
KUALA SELANGOR: Seorang juruterbang ditahan polis dua hari lalu di sekitar Lembah Klang dipercayai bertindak sebagai pengurus kewangan berkaitan kes penyeludupan dadah membabitkan seorang pembantu juruterbang akhir Julai lalu.
Lelaki berusia 30-an itu merupakan suspek ketujuh ditahan selepas enam yang lain sebelum ini ditahan pada 20 dan 28 Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek merupakan juruterbang yang berkhidmat dengan syarikat penerbangan berbeza.
“Suspek dipercayai membantu pembantu juruterbang berkenaan dalam urusan permindahan wang. Dia menguruskan kewangan hasil daripada penjualan dadah. Duit itu disalurkan melalui dia.
“Bagaimanapun ujian saringan air kencing terhadap suspek adalah negatif,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Tambahnya, polis turut menyiasat sekiranya perbuatan tersebut mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.
Sabtu lalu, Utusan Malaysia melaporkan polis menumpaskan sindiket sindiket penyeludupan dadah dengan penahanan enam lelaki tempatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pembantu juruterbang Malaysia Airlines yang ditahan di Indonesia, Julai lalu.
Ketika itu, Hussein berkata, semua suspek terbabit yang ditahan pada 20 hingga 28 Ogos lalu berperanan sebagai pembekal dan penghantar bekalan dadah kepada pembantu juruterbang terbabit.
Pada 29 Julai lalu, pembantu juruterbang itu ditahan di Terminal 3 Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, Banten, pada selepas tiba dari Kuala Lumpur dengan penerbangan MH727.
Pemeriksaan ke atas bagasinya menemui 14 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi kira-kira 25 kilogram, selain empat gram syabu dalam barang bawaannya yang semuanya dianggarkan berjumlah RM45 juta. – UTUSAN
The post Juruterbang suspek ketujuh sindiket penyeludupan dadah appeared first on Utusan Malaysia.






